Sejarah persahabatan politik antara BN dan GPS yang sudah lama terjalin dan kekal bersama sebagai pembangkang semasa pemerintahan Pakatan Harapan (PH) bukti kedua-dua pihak itu masih mempunyai ikatan yang cukup kuat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata di bawah kepimpinan pengerusinya, Tan Sri Abang Johari Tun Openg, membuatkan pakatan politik semenanjung itu memahami aspirasi antara satu sama lain dengan baik.
“Kerjasama dengan GPS itu pasti, walaupun GPS bukan bersama komponen kita Barisan Nasional tapi dari segi sejarahnya kita dah mempunyai sejarah yang panjang, kita memahami aspirasi rakyat Sarawak dan walaupun kita berbeza sekarang ini tetapi kita terus bersama.
“Sebagai contoh sewaktu saya menjadi ketua pembangkang, GPS bersama kita dia tak bersama PH ketika itu maknanya dia tetap bersama kita dan bila kita membentuk kerajaan yang baru, GPS juga bersama kita jadi pastinya hubungan itu akan diteruskan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa sidang media selepas majlis perasmian pembukaan Lebuhraya Pan Borneo Sarawak Seksyen Selangau WPC08 di sini pada Isnin.
Tambah Naib Presiden UMNO itu lagi, kemenangan majoriti mudah pada pilihan raya kali ini tidak memberi ancaman kepada BN dengan terlaksananya akta anti lompat parti.
“Berbeza dengan pilihan raya yang sekrang berbanding dengan yang dahulu, kalau dahulu kemenangan majoriti mudah itu amat membahayakan kerana boleh lompat parti.
“Tapi sekarang ini dengan akta lompat parti, selepas menang tak ada siapa pun calon akan lompat parti, kalau lompat dia kena kosongkan kerusi untuk pertandingan semula,” ujarnya lanjut.