IPOH: Angkatan Muda Keadilan (AMK) Perak membuat laporan polis terhadap calon Perikatan Nasional (PN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gunong Semanggol, Razman Zakaria yang didakwa mengeluarkan ucapan berbaur hasutan serta fitnah kepada kepimpinan Pakatan Harapan (PH).

Timbalan Ketua AMK Perak, Ashraf Kahasani, berkata laporan itu dibuat kerana ucapan Pesuruhjaya Pas Perak itu didakwa mengandungi unsur jelek dan boleh menggugat kerhamonian rakyat.

"Tuduhan yang dibuat terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim jika menang sebagai Perdana Menteri nanti bakal membawa agenda LGBT ternyata sarat dengan tuduhan fitnah jahat.

"Tuduhan liar juga dibuat olehnya yang mendakwa DAP adalah komunis," katanya.

Beliau berkata kepada pemberita ketika hadir membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh, di sini pada Selasa.

[LAPOR LANGSUNG] PRU15: Khianat bendera parti lawan, Polis Melaka buka kertas siasatan

SEMAK CALON PRU15 DI SINI


Sehubungan itu, beliau menggesa supaya polis menyiasat isu tersebut dengan sewajarnya.

"Ini bukan satu isu baharu kerana terdapat pemimpin lain dalam parti Pas yang didapati melakukan tindakan sebegitu baru-baru ini.

"Kali ini Razman juga membuat isu retorik yang sama, menyentuh tentang sensitiviti kaum dan agama.

"Laporan polis ini dibuat agar pihak polis menyiasat Razman untuk diambil tindakan kerana beliau secara terang-terangan membuat satu tuduhan yang jelek dan tidak berasas," dakwanya.

Dalam pada itu, beliau berharap rakyat khususnya pengundi DUN Semanggol menolak cara kempen yang secara terang-terangan membuat fitnah dan berunsur jahat.

"Kalau kita lihat Datuk Seri Anwar Ibrahim turun padang, beliau lebih tertumpu kepada masalah rakyat dan bagaimana untuk mengembalikan ekonomi dan memajukan rakyat

"Namun PN kita lihat tertumpu kepada isu berkaitan dengan kaum dan  agama, yang mana mereka sering mainkan," dakwanya.

Terdahulu media melaporkan, Polis Perak menjalankan siasatan berhubung ucapan Razman yang tular sejak Ahad lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata, satu laporan polis berhubung kejadian itu dibuat seorang lelaki berusia 32 tahun yang mendakwa ucapan tersebut didapati mengandungi unsur fitnah dan berniat jahat serta ditujukan kepada kepimpinan PH.