Di Pahang, kerusi Parlimen Pekan antara menjadi tumpuan apabila UMNO menamakan Datuk Seri Sheikh Mohmed Puzi Sheikh Ali sebagai calon untuk mempertahankan kerusi itu.
Perikatan Nasional (PN) pula mempertaruhkan bekas calon PRK Chini, Mohd Fadhil Noor Abdul Karim, manakala Pakatan Harapan (PH) meletakkan Mohd Naim Zainal Abidin untuk merampas kerusi tradisi UMNO itu.
Tidak kurang hebatnya, Gerakan Tanah Air (GTA) turut menamakan calon, Mohammad Radhi Abdul Razak untuk berentap di kerusi itu.
Persoalannya, bagaimana pula penerimaan golongan muda dan pengundi kali pertama, terhadap calon-calon dan parti politik yang bertanding di kerusi itu?
Menurut sumber kajian Astro AWANI-Universiti Malaya (UM), 21.1 juta daripada 32.4 juta penduduk Malaysia layak mengundi dalam PRU kali ini.
Ia menyaksikan kenaikan 29 peratus pemilih yang layak mengundi berbanding PRU lalu ekoran pendaftaran pengundi automatik dan Undi 18.
Kami ke Pekan, untuk mendengar sendiri pandangan anak muda yang akan menjadi undi penentu di Parlimen itu untuk lima tahun akan datang.
Bagi Khalbie Adila Khadri, 28, peniaga di bandar Pekan, beliau lebih mengutamakan personaliti politik berbanding parti politik.
"Saya lihat personaliti politik (untuk mengundi), sebab saya tak tengok parti politik. Sebab saya rasa politik dekat Malaysia perlu kurangkan rasuah dan kronisme.
"Sekarang ramai yang tua semakin kurang... kita kena ikut generasi muda," katanya ketika ditemui.
Bagi Nurul Nabilah Hamdan, 26, faktor calon menjadi keutamaannya berbanding parti politik.
"Saya akan keluar mengundi... Sama ada pilih calon atau parti politik, saya pilih calon," katanya yang mengakui masih belum kenal dengan terperinci bakal calon-calon yang bertanding.
Pandangan sama dilontarkan, Nor Nur Ain Md Sidi, 25, pengundi kali pertama pada PRU ini.
Calon yang mempunyai pengalaman dan wawasan menjadi pilihan melebihi manifesto parti politik.
"Pemimpin tu punya wawasan (diambil kira), pengalaman dia semua, dan (pendekatan dalam) mengambil perhatian anak muda. Pekan memang tempat saya lahir dari dulu sampai sekarang, ada perubahan sedikit.
"... mengharapkan pemimpin yang dipilih nanti boleh bawa perubahan lah," ujarnya lagi.
Di Pekan, data menunjukkan 58.1 peratus pengundi berusia 18 hingga 39 tahun akan memilih pemimpin mereka pada 19 November depan.
Jika dilihat data pada PRU lalu, seramai 119,501 pemilih layak menunaikan tanggungjawab mereka.
Namun, angka itu dijangka meningkat pada PRU kali ini.