IPOH: Seramai 31,291 anggota polis dan tentera bersama pasangan masing-masing di Perak menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pengundi dalam undi awal Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), hari ini.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata daripada jumlah tersebut, seramai 12,215 melibatkan anggota polis sementara 19,076 anggota tentera.

Katanya, proses undi awal yang bermula seawal pukul 8 pagi itu melibatkan 72 pusat mengundi daripada 953 pusat mengundi di seluruh negeri Perak.

Jelas beliau, sebanyak 54 premis polis dan 18 premis tentera telah diwartakan sebagai pusat undian awal bagi PRU15 kali ini.

“Kekuatan sumber manusia bagi pengundian awal di Kontinjen Perak melibatkan seramai 245 orang pegawai kanan dan 886 pegawai rendah polis dengan jumlah keseluruhan kekuatan 1,131 orang.

“Daripada angka itu, daerah Muallim mencatatkan bilangan anggota dan pegawai tertinggi iaitu 197 orang sementara jumlah paling kecil adalah di Daerah Hilir Perak dengan lima orang anggota dan pegawai,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas meninjau perjalanan proses undi awal anggota dan pegawai polis sempena PRU15 di Balai Polis Pasir Puteh, dekat sini, pada Selasa.

Mohd Yusri berkata, pusat pengundian awal di balai polis berkenaan melibatkan seramai 1,6411 pengundi dan lima saluran.

Dalam pada itu, Mohd Yusri memaklumkan, proses pengundian pos bagi anggota dan pegawai polis Perak juga telah dijalankan pada Isnin dengan melibatkan 565 pengundi.

Daripada jumlah berkenaan, katanya, 322 orang membabitkan pengundi lokaliti di negeri itu sementara 243 orang pengundi lokaliti luar.

“Setakat ini perjalanan proses undi awal berjalan dengan lancar selain tiada premis polis yang terkesan akibat daripada banjir kilat,” tambah Mohd Yusri lagi.