SIBU: Bekas potensi calon Parti Sarawak Bersatu (PSB) di N.41 Kuala Rajang yang keluar parti baru-baru ini, Datuk Seri Abang Aditajaya Abang Alwi akan tetap bertanding di kerusi tersebut sebagai calon Bebas.

Dalam satu majlis pelancaran jentera kempen di sebuah hotel di sini pada Ahad, Adita turut mengumumkan dua calon lain yang turut bertanding bersama-sama beliau.

Dua bakal calon tersebut ialah Khairul Datuk Adenan di DUN N.5 Demak Laut dan Mohd Adenan Zulkifli di DUN N.43 Semop.

Dalam ucapannya, Adita yang berasal dari Kampung Belawai melahirkan kekecewaannya terhadap PSB dan melihat perjuangan parti itu telah terserong daripada perjuangan asal.

Justeru itu katanya, bagi meneruskan perjuangan, beliau akan bertanding sebagai calon Bebas dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak kali ini.


PRN Sarawak | Abang Aditajaya umum bertanding DUN Kuala Rajang

Pada PRN Sarawak 2016, daripada 7,037 pemilih yang melaksanakan tanggungjawab di DUN N.41 Kuala Rajang, calon BN Datu Len Talif Salleh meraih 6,235 undi, untuk menewaskan calon Amanah,  Sopian Junaidi yang memperoleh 649 undi dan calon Bebas, Asbor Abdullah yang mengutip 153 undi.

Dalam majlis yang sama, Adita turut mengumumkan penubuhan parti baharu yang dikenali sebagai Barisan Rakyat.

Mengambil aspirasi Barisan Nasional termasuk pada warna parti dan tema sampingan 'Satu Sarawak', parti baharu ini menggunakan logo payung.

"Kita akan mendaftarkan parti ini selepas ini. Dan selepas diluluskan pendaftarannya oleh Pendaftar Pertubuhan, kita akan berkempen di seluruh 31 kawasan Parlimen di seluruh Sarawak," tambahnya lagi.

Aditajaya sebelum ini pernah menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR), sebelum beralih kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Bekas Pengerusi Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PPKM) Sarawak ini kemudian keluar parti untuk menyertai PSB selama setahun, sebelum mengumumkan pengunduran pada tiga minggu lalu.

Keputusan keluar parti dedahnya, dilakukan setelah beliau dipaksa menandatangi empat dokumen, yang salah satu daripadanya berkaitan dengan perjanjian dengan 'ah long' atau peminjam wang berlesen.