SARIKEI: Datuk Seri Abang Aditajaya Abang Alwi mendakwa terdapat beberapa ahli Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan menyertai Parti Barisan Rakyat yang ditubuhkannya.

Abang Aditajaya yang merupakan calon Bebas kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Rajang  bagaimanapun tidak dapat mendedahkan senarai nama ahli GPS itu sehingga parti tersebut didaftarkan dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).

Selain ahli GPS, dakwa beliau, beberapa pemimpin daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Sarawak Bersatu (PSB) turut mengintai untuk menyertai parti mereka.

"Barisan Rakyat adalah parti pelbagai kaum dan diketuai oleh saya sendiri sebagai presiden dan pengasas dan kita telah mempunyai satu barisan... yang mana ada diwakili bekas-bekas PKR ada juga pemimpin daripada PSB dan juga ada pemimpin daripada GPS sendiri.

“Jadi saya tidak boleh mendedahkan dahulu senarai nama ini sehinggalah kelulusan ini diberikan jadi saya berasa parti ini adalah satu-satu parti alternatif di Sarawak," katanya ketika ditemui Astro AWANI di Sarikei pada Ahad.

Selain itu, Abang Aditajaya turut memaklumkan, Parti Barisan Rakyat akan menjadi parti tempatan dan tidak akan melebarkan sayap ke Semenanjung Malaysia.

Pada November, Aditajaya pernah mengumumkan penubuhan parti baharu yang dikenali sebagai Barisan Rakyat.

Mengambil aspirasi Barisan Nasional termasuk pada warna parti dan tema sampingan 'Satu Sarawak', parti baharu ini menggunakan logo payung.

Aditajaya sebelum ini pernah menyertai PKR, sebelum beralih kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Bekas Pengerusi Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PPKM) Sarawak ini kemudian keluar parti untuk menyertai PSB selama setahun, sebelum mengumumkan pengunduran pada 18 November lalu.

Keputusan keluar parti dedahnya, dilakukan setelah beliau dipaksa menandatangi empat dokumen, yang salah satu daripadanya berkaitan dengan perjanjian dengan 'ah long' atau peminjam wang berlesen.