Tindakan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) mengugut untuk keluar daripada Perikatan Nasional (PN) sekiranya tidak mendapat sekurang-kurangnya 15 kerusi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah hanya akan merugikan PN.

Penganalisis politik Sabah, Dr Romzi Ationg berkata, kesan yang paling ketara adalah akan wujudnya pecahan undi.

Begitupun, beliau yakin PN cukup berpengalaman untuk menyelesaikan isu tersebut.

“PN kita percaya masih ada kelebihan, dari segi pengalaman, dengan pengalaman untuk selesaikan masalah, saya yakin PN akhirnya akan ada kemampuan untuk akhirnya memberi saingan sengit terhadap Warisan.

“Khususnya apabila Warisan bergelumang dengan isu penentuan calon dan keghairahan kepimpinan setiap parti yang bergabung dalam Warisan untuk meraih lebih banyak kerusi,” katanya dalam temu bual Skype bersama Astro AWANI pada Rabu.


Tambahnya, ugutan seperti itu adalah perkara biasa terutamanya bagi parti politik yang mahukan suara dan tuntutan mereka didengari.

Bagitupun, peranan STAR tidak harus dipandang rendah kerana mereka mempunyai sokongan yang agak kuat terutamanya daripada etnik Kadazan.

“Kita tak boleh nafikan peranan yang dimainkan oleh STAR kerana STAR juga mempunyai pengikut yang ramai.

“Saya rasa ini sudah pasti memberi kesan kepada sentimen dalam kalangan Kadazan Dusun sendiri. ini juga membuktikan bahawa setiap parti itu harus mengambil kira peranan setiap etnik di Sabah,” ujarnya.

BACA: PRN Sabah: STAR keluar PN jika tak diberi 18 kerusi - Jeffrey Kitingan

Dalam pada itu, Romzi juga berpendapat golongan muda akan memainkan peranan penting dalam menentukan kemenangan calon dan parti dalam PRN Sabah.

Justeru, setiap parti perlu menangani golongan itu sebaik mungkin apatah lagi segala maklumat kini di hujung jari mereka sahaja.

Astro AWANI pada Selasa melaporkan STAR tidak teragak-agak untuk keluar daripada PN sekiranya tidak mendapat sekurang-kurangnya 15 kerusi dalam Pilihan Raya Negeri PRN ke-16.

Presidennya, Datuk Dr Jeffrey G Kitingan berkata, perkara itu mengambil kira kehendak rakyat yang mahu parti tempatan menerajui pentadbiran negeri.

“Kami yakin STAR boleh menang banyak kerusi dalam PRN kali ini dan kami bersedia untuk bertanding 15 hingga 18 kerusi jika diberi peluang.

“Tetapi, sekiranya STAR hanya diberi enam atau lapan kerusi, baik kami bertanding sendiri,” katanya.
Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa pula meminta semua parti dalam PN agar bertenang dalam soal pengagihan kerusi.

Menurutnya, adalah lebih baik parti gabungan tidak bising dalam soal pengagihan kerusi dan menyelesaikan perkara itu dalam suasana tenang.

Jelasnya, rundingan akan dilakukan sebaik mungkin bagi memastikan kesepakatan mampu dicapai demi memastikan kemenangan gabungan itu.