KUALA TERENGGANU: Sebanyak 232 laporan diterima polis berhubung kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) di Terengganu.

Ketua Polis negeri, Datuk Mazli Mazlan memberitahu, daripada jumlah itu polis membuka 10 kertas siasatan dengan tujuh kes sudah dirujuk kepada kepada Pengarah Pendakwa Negeri (PPN) untuk arahan lanjut manakala baki masih dalam siasatan.

"Kebanyakan kes ini melibatkan kesalahan khianat seperti membakar atau merosakkan bendera dan mencontengkan poster," katanya pada sidang media selepas lawatan ke pusat pengundian awal di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu di sini, pada Selasa.

Tinjauan Astro AWANI mendapati pegawai dan anggota yang hadir untuk mengundi itu disediakan kerusi sementara menunggu giliran masing-masing.

Dalam pada itu Mazli memberitahu, polis meluluskan 470 permohonan permit untuk program parti.

"Kita meluluskan 310 permohonan daripada Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (132 permohonan), Pakatan Harapan (10 permohonan) dan sembilan permohonan daripada  Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda)," tambahnya.

Sementara itu, beliau sekali lagi mengingatkan calon dan parti politik supaya tidak membuat sebarang provokasi yang melampau termasuk menyentuh isu 3R iaitu  agama, kaum dan institusi Diraja.

"Kita juga meminta pemasangan bahan-bahan berkempen seperti bendera dan poster supaya dipasang sebaik-baiknya dan tidak menganggu atau membahayakan pengguna jalan raya," ujarnya.