SHAH ALAM: Pasukan Perpaduan Selangor melibatkan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) akan melancarkan tawaran untuk lima tahun akan datang bersempena Pilihan Raya Negeri (PRN) pada Isnin ini (31 Julai).

Pengerusi PH Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata proses penamaan calon bagi kesemua 56 calon PH dan BN dalam gagasan Perpaduan Negeri Selangor telah selesai dan berjalan dengan sempurna hari ini.

"Semangat setiakawan dan kesepakatan ini yang menjadi asas kepada Kerajaan Persekutuan diterjemahkan ke dalam gerak kerja di PRN kerana kerjasama ini dijalinkan atas kepercayaan dan bukannya pengkhianatan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Amirudin yang juga Menteri Besar Selangor berkata melihat kepada situasi penamaan calon yang berjalan dengan sempurna dan begitu meriah hasil gerak kerja seluruh jentera di negeri itu, beliau yakin parti gabungan dalam Kerajaan Perpaduan mendahului di 68 ke 70 peratus kawasan yang ditandingi, serta persaingan sengit di beberapa kawasan lain yang mampu mencapai kemenangan.

"Komitmen ini bakal melonjakkan Selangor ke tahap yang lebih tinggi dan hanya dapat direalisasikan dengan pasukan yang ikhlas, padu, bersetia kawan dan yang mampu menawarkan khidmat dengan jujur untuk mengangkat maruah dan martabat orang Selangor," katanya yang juga calon di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua.

Sebanyak 147 calon bertanding merebut 56 kerusi DUN pada PRN Selangor.

Daripada jumlah itu, 44 calon mewakili Pakatan Harapan (PH) dan 12 daripada Barisan Nasional (BN); Perikatan Nasional (PN) (56); Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) (14); Parti Sosialis Malaysia (PSM) (empat); Parti Rakyat Malaysia (PRM) (enam); Parti Utama Rakyat (PUR) satu dan Bebas (10).

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan PRN di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu dan Kedah serta Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi Parlimen Kuala Terengganu dilaksanakan serentak, dengan hari pengundian pada 12 Ogos manakala pengundian awal pada 8 Ogos.

-- BERNAMA