MUDA, yang bertanding di 19 kerusi, menamakan seramai sembilan calon lelaki dan 10 calon wanita di negeri Selangor, Negeri Sembilan, Terengganu dan Pulau Pinang.
Kesemua kerusi itu turut melibatkan saingan hebat daripada Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN), nama-nama besar yang tidak lekang disebut di bibir rakyat Malaysia.
Oleh itu, tidak hairanlah jika MUDA terkecundang, seperti keputusan PRN mereka baru-baru ini, di mana tiada satu calon pun yang berjaya meraih undi melebihi 10% daripada jumlah undi di Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing.
Lebih merugikan apabila usaha MUDA untuk melahirkan pemimpin-pemimpin baru ibarat batu penghalang bagi kemenangan PH, seperti yang berlaku di Sungai Kandis, yang menyaksikan kemenangan dengan majoriti 167 undi.
Jikalau MUDA berganding bahu bersama PH di DUN itu, kiraan di atas kertas memberi gambaran bahawa undi diraih Afriena Shaqira Sariff sebanyak 1,341 dapat menyumbangkan kemenangan buat PH dengan majoriti yang lebih besar di Sungai Kandis, sekali gus menjadikannya lebih bermakna.
Berikut merupakan keputusan calon MUDA pada PRN 2023 baru-baru ini:
Kesemua calon MUDA hilang wang deposit berikutan jumlah undi kecil yang diraih.
Setiap calon yang bertanding akan hilang wang deposit sekiranya gagal memperoleh 1/8 atau 12.5 peratus undi daripada jumlah keseluruhan undi yang dikira.
Sebaliknya, kebanyakan kerusi DUN yang dipertandingkan di atas dimenangi oleh PH, selain daripada kerusi Sungai Kandis yang sebelum ini di bawah tampuk kepimpinan Mohd Zawawi Ahmad Mughni (PH), kini berjaya dicantas oleh Wan Dzahanurin Ahmad (PN).
Bagaimanapun, rata-rata penganalisis politik berpandangan, sebagai sebuah parti yang baharu ditubuhkan, ia dilihat satu persaingan sihat bagi sebuah negara demokrasi.
Penganalisis Keselamatan dan Politik di Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr Noor Nirwandy Mat Noordin sebelum ini berkata, beliau mahu penyertaan MUDA dalam PRN dilihat secara positif, yang menunjukkan wujudnya persaingan demokrasi matang dan terbuka di negara ini.
"Kematangan pengundi, terutama pengundi muda penting pada PRN kali ini. Mereka perlu meletakkan kestabilan politik sebagai satu perkara asas dalam membuat keputusan.
"Ramai pemimpin yang akan mencuba nasib untuk bertanding, namun pengundi perlu memilih calon yang mempunyai rekod baik dan membawa perubahan kepada kawasan," katanya.
* Irdina Ishak merupakan graduan ekonomi dengan pengkhususan pengajian pembangunan di Universiti Malaya dan bertugas sebagai Associate, Creative Young Talent di Astro.
** Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis berdasarkan bidangnya dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.