PASIR GUDANG: Pemuda Barisan Nasional (BN) sudah menyerahkan senarai 15 nama calon untuk dipertandingkan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, nanti.

Ketua Pemuda BN, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata, cadangan nama berkenaan sudah diberikan kepada pimpinan tertinggi untuk pertimbangan.

Senarai calon itu dibarisi calon-calon muda yang berketerampilan tinggi selain mempunyai rekod akademik yang baik di samping mempunyai gerak kerja yang efektif dalam kalangan masyarakat.

Kriteria calon juga mengikuti acuan winnable, acceptable dan likeable (WALI) yang digariskan Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada PRN Melaka sebelum ini

"Sekarang ini masih dalam fasa penilaian tapi di peringkat Pemuda BN kita telah menghantar lebih daripada 15 orang calon ditampilkan pada pimpinan tertinggi.

“Seperti di Melaka, calon-calon orang muda yang berkelayakan dan berketerampilan dari segi akademik baik dari segi gerak kerja dengan masyarakat bukan hanya bermula sekarang tetapi mereka sudah pun dikenali dalam masyarakat," jelasnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Khidmat Pengangkutan Percuma PICKids Di Bandar Seri Alam, Masai, Pasir Gudang

Dalam pada itu, beliau mengharapkan pimpinan tertinggi parti itu menampilkan lebih banyak muka-muka baharu

Selaras dengan hasrat rakyat yang mahukan BN dibarisan calon-calon yang segar.

Mencontohi pencapaian di PRN Melaka dengan lebih 80 peratus calon yang bertanding terdiri daripada golongan muda.