SEREMBAN: Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan mencapai kata sepakat untuk membentuk jentera bersama di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN).

Perkara itu dimaklumkan oleh Setiausaha PH Negeri Sembilan, Cha Kee Chin dan Setiausaha BN Negeri Sembilan, Datuk Hasim Rusdi dalam kenyataan media bersama, hari ini.

“PH dan BN negeri telah mengadakan mesyuarat jawatankuasa bersama kali pertama pada 19 Jun 2023 dan kedua-dua pihak diketuai oleh Setiausaha masing-masing.

“Kedua-dua gabungan bersetuju membentuk jentera pilihan raya peringkat DUN secara bersama dan akan melantik penyelaras di setiap DUN untuk memudahkan kesiapsiagaan jentera bersama,” menurut kenyataan itu.

Selain itu, dua gabungan parti memberikan komitmen secara menyeluruh bahawa jentera semua parti dalam Kerajaan Perpaduan untuk memaksimakan kekuatan di semua 36 kerusi DUN.

“Kedua-dua gabungan bersetuju untuk memastikan kemenangan gabungan parti kerajaan perpaduan dalam PRN.

“Kesiapsiagaan  di semua peringkat ke arah mendapatkan restu sokongan dan mandat pengundi Negeri Sembilan untuk membentuk Kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan,” tambahnya.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu menyaksikan, PH memenangi 20 kerusi DUN manakala BN sebanyak 16 kerusi.

Selain Negeri Sembilan, lima lagi negeri yang bakal berdepan PRN adalah Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Kelantan dan Terengganu.