JOHOR BAHRU: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yakin pengundi di kawasan Parlimen Pulai tidak akan terpengaruh dengan 'fatwa politik' yang menyatakan haram untuk mengundi calon Perikatan Harapan (PH) Suhaizan Kaiat pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Pulai, Sabtu ini.

Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata ini kerana Bangsa Johor lebih matang dan tidak akan terpengaruh dengan 'fatwa' yang dikeluarkan oleh Pengerusi Parti Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin semasa sesi Ceramah Perdana di Dataran Utama Kempas, di sini, malam tadi.

"Saya nak tanya orang itu ayat al-Quran dari mana, hadis mana, qiyas mana dan ijma ulamak dari mana?

"Ketika beliau menjadi sebahagian daripada kerajaan Pakatan Harapan (PH) 1.0 dahulu, semuanya halal, namun apabila tidak sealiran dengan dia, maka keluarlah 'fatwa' berbagai-bagai.

"Pada hemat saya Bangsa Johor, pengundi Johor berbeza dengan pengundi di tiga negeri yang dikuasai mereka.

"Rakyat Johor perlukan kestabilan, mahukan wakil rakyat yang boleh memperjuangkan nasib mereka," katanya pada sidang media selepas program bersama rakyat di PPR Kempas Permai, Johor Bahru di sini hari ini.

Muhyiddin semasa sesi ceramah berkenaan dikatakan telah mengatakan bahawa adalah haram memberikan undi kepada Suhaizan, sehingga menimbulkan pelbagai reaksi.

PRK Parlimen Pulai dan PRK Dewan Undangan Negeri Simpang Jeram dijalankan susulan kekosongan luar jangka berikutan kematian penyandangnya Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Seri Salahuddin Ayub pada 23 Julai lepas.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan pengundian awal pada 5 Sept dan hari mengundi pada 9 Sept.

-- BERNAMA