JOHOR BAHRU: Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) tidak menerima sebarang laporan berhubung kesalahan penyebaran naratif kebencian 3R iaitu kaum, agama dan institusi diraja, khususnya menerusi platform media sosial semasa kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram, setakat ini.

Timbalan Menterinya, Teo Nie Ching berkata biarpun tiada laporan diterima, jawatankuasa khas yang dianggotai Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan terus melakukan pemantauan sehingga tempoh berkempen tamat.

"Kami akan terus memantau platform media sosial (berhubung isu 3R) pada PRK ini. Pada PRN (Pilihan Raya Negeri) lepas kami terima 26 aduan dan telah diserahkan kepada PDRM untuk tindakan," katanya kepada pemberita selepas melawat tapak pemasangan peranti satelit Starlink di Kampung Orang Asli Sungai Temon di sini hari ini.

Dalam pada itu, mengakui kempen menerusi media sosial pada PRK ini dilihat sedikit hambar berbanding PRN di enam negeri bulan lepas, Teo berkata keadaan itu menjadi cabaran buat Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) untuk menarik pengundi keluar menunaikan tanggungjawab mereka pada 9 Sept nanti.

Sementara itu, ketika ditanya berhubung beberapa portal atau laman web yang dilaporkan disekat oleh MCMC, beliau berkata tindakan itu diambil jika terdapat unsur-unsur berita palsu dalam portal berkenaan.

"MCMC tidak bertindak sewenang-wenangnya menyekat mana-mana portal tanpa alasan munasabah.

" .... Kalau (portal) menyentuh isu-isu sensitif seperti 3R, berita palsu yang mungkin boleh bawa kesan buruk kepada masyarakat, saya rasa MCMC perlu ambil tindakan," katanya.

Pada masa yang sama, beliau berkata kementerian bersedia mengadakan sesi dialog dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk memahami sempadan kebebasan bersuara dan maklumat.

-- BERNAMA