KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) perlu keluar daripada naratif  yang memainkan sentimen Melayu dan Islam untuk meraih undi dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap yang sedang berlangsung.


Ringkasan AI
  • PN perlu keluar daripada naratif kempen yang memainkan sentimen Melayu dan Islam untuk meraih undi.
  • Sekiranya ia terus dimainkan, naratif sebegini sudah terlalu usang dan lapuk.
  • PH juga perlu bijak mengatur strategi berdepan persoalan mengenai isu-isu tempatan yang melatari suasana kempen di Sungai Bakap.


Menurut Felo Penyelidik Institut Tun Dr Mahathir Universiti Utara Malaysia (UUM), Mujibu Abd Muis, ini kerana naratif sebegini mungkin dilihat sudah terlalu usang dan lapuk.

‘’PN dalam konteks ini perlu keluar daripada kerangka kempen yang memainkan sentimen Melayu Islam.

‘’Sungai Bakap ini memiliki hampir 60 peratus pengundi Melayu, maka sentimen itu mengambil kira gelombang hijau yang berlaku ketika Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU 15) dan juga Pilihan Raya Negeri (PRN) (yang lepas).

‘’Mungkin ini masanya Pas dan juga PN perlu mencari naratif baharu memandangkan kalau berlaku lagi PRK pada masa akan datang, kerangka-kerangka ini barangkali sudah terlalu lama dan terlalu usang untuk dimainkan berterusan dalam pilihan raya berikutnya,’’ katanya.

Pada masa sama, Mujibu berkata Pakatan Harapan (PH) juga perlu bijak mengatur strategi berdepan persoalan mengenai isu-isu tempatan yang melatari suasana kempen di Sungai Bakap.

Ini termasuk isu kenaikan tarif di Pulau Pinang pada Februari lalu selain membuat tawaran memberangsangkan yang memfokuskan kepada pembangunan, ekonomi dan peluang pekerjaan.

‘’Saya melihat isu-isu tempatan akan banyak melatari suasana kempen di Sungai Bakap terutamanya isu kenaikan tarif air yang pada ketika ini menjadi isu terhangat dalam kalangan warga Pulau Pinang itu sendiri.

‘’Juga mungkin isu-isu pembangunan memandangkan Sungai Bakap ini berbanding dengan jirannya DUN Jawi itu dia agak laidback dari sudut pembangunan.

‘’Ini mampu ditawarkan oleh PH memandangkan mereka adalah kerajaan yang memerintah di Pulau Pinang dan sudah tentu mempunyai kuasa ketika ini pada peringkat Persekutuan.

‘’Ini mungkin akan menarik perhatian terutamanya dalam menawarkan isu-isu yang mesra orang muda dalam konteks ekonomi, pekerjaan dan industri ini mungkin penawaran yang baik,’’ tambahnya.

Analisis awal PRK Sungai Bakap

Terdahulu, PRK DUN Sungai Bakap yang akan berlangsung pada 6 Julai ini menyaksikan pertembungan satu lawan satu iaitu antara calon PH-BN dan PN.

Pegawai Pengurus Pilihan Raya Khairulnizam Hashim mengumumkan pencalonan rasmi itu sebaik tempoh proses penamaan calon ditutup jam 10 pagi di Dewan Serbaguna Jawi.

PH mempertaruhkan bekas pengarah Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara Joohari Ariffin, 60, atau Cikgu Joohari mewakili Kerajaan Perpaduan menentang bekas eksekutif logistik yang juga Naib Yang Dipertua Pas Nibong Tebal Abidin Ismail, 56, atau Abang Bidin mewakili PN.