Meskipun kempen calon parti-parti bertanding dan seorang calon Bebas setakat ini dilihat kurang kemeriahannya, ramai dalam kalangan pemerhati politik melihat PRK ini amat penting bagi BN dalam memastikan kerusi yang menjadi kubu kuat parti itu sejak 1986 terus menjadi milik mereka, serta menyekat kemaraan 'gelombang hijau' di Pahang selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Situasi hambar tempoh awal kempen itu dijangka berubah pada minggu kedua kempen lantaran calon bertanding dan jentera parti meningkatkan 'gear' bagi menambat hati pengundi, selain kehadiran pemimpin utama parti peringkat pusat yang dijadual turun padang bermula hujung minggu ini.
Pensyarah kanan di Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Raub Che Hamdan Che Mohd Razali berkata BN 'memerlukan' kerusi DUN Pelangai bagi mengimbangi kedudukan di Dewan Undangan Negeri Pahang.
"Keputusan PRU15 menyaksikan BN dan PN masing-masing memperoleh 17 kerusi di DUN Pahang. Sebagai kerajaan negeri, mereka pasti mahu menyekat PN daripada mempunyai kelebihan kerusi di DUN, walaupun keputusan PRK ini tidak mengubah pentadbiran negeri.
"Selain daripada jumlah kerusi, keputusan PRK Pelangai juga penting untuk melihat dan membuktikan sejauh mana penerimaan kepada dasar dan pentadbiran kerajaan negeri serta barisan ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) selepas PRU15," katanya kepada Bernama.
Kerjasama BN dan PH selepas PRU15 setelah tiada parti memperoleh majoriti mudah menyaksikan masing-masing seorang wakil daripada PKR dan DAP dilantik sebagai ahli MMK, pertama kali dalam sejarah pentadbiran kerajaan negeri.
Selain itu, Che Hamdan berkata PRK Pelangai juga adalah 'cermin' kepada kerjasama BN dan PH di Pahang, khususnya dalam melihat bagaimana PH terutamanya DAP yang mempunyai enam kerusi DUN dan PKR (dua kerusi) memobilisasikan jentera untuk membantu kemenangan BN.
"Berbeza dari negeri Pantai Timur lain, Pahang walaupun majoriti (pengundi) adalah Melayu, DAP tetap memperoleh kerusi di negeri ini pada pilihan raya walaupun jumlahnya kecil. Sebelum PRU15, persaingan juga berlaku antara BN dan DAP.
"Trend politik telah berubah dengan pengaruh PN terutamanya PAS, semakin meningkat termasuk di Pahang, menyebabkan mereka (BN dan PH) perlu bekerjasama bagi menyekat kemaraan PN di Pahang kerana Felda juga kini tidak boleh lagi dianggap sebagai fixed deposit kepada BN," katanya.
Seramai 7,983 pengundi atau 48.5 peratus daripada keseluruhan 16,456 pengundi berdaftar di DUN Pelangai merupakan warga Felda iaitu Felda Chemomoi, Felda Sungai Kemahal dan Felda Sungai Kemasul.
Penganalisis politik Ainul Adzellie Hasnul pula berkata kelebihan di PRK Pelangai lebih berpihak kepada BN kerana jentera parti termasuk dari luar Pahang serta kerajaan negeri tertumpu sepenuhnya di situ, ditambah dengan faktor calon yang dilihat boleh meneruskan usaha di kawasan itu.
"Pengundi mempunyai pilihan untuk memilih calon yang dapat meneruskan apa yang hendak dilakukan Datuk Seri Johari Harun (penyandang DUN Pelangai), dan mereka melihat lebih mudah jika calon itu datang dari parti sama mentadbir negeri dan negara," katanya.
Ainul Adzelli berkata berdasarkan keputusan PRU15, beliau percaya momentum penyokong BN masih kuat di situ dan kini ditambah pula dengan undi penyokong PH, menjadikan PN berdepan laluan sukar untuk menang.
Walaupun isu pembangunan antara isu yang disentuh PN pada PRK Pelangai, Ainul Adzellie berkata kerajaan negeri mempunyai kelebihan untuk menjawab isu itu kerana boleh mengetengahkan perancangan masa depan mereka di situ.
PRK Pelangai pada 7 Okt ini diadakan ekoran kematian Johari akibat nahas pesawat terhempas di Shah Alam, Selangor pada 17 Ogos lepas, yang menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara calon BN Datuk Amizar Abu Adam, calon PN Kasim Samat dan calon Bebas Haslihelmy DM Zulhasli.
Pada PRU15, Johari daripada BN menang dengan majoriti 4,048 undi menewaskan calon PN Kasim yang mendapat 3,260, calon PH Ahmed Wafiuddin Shamsuri dengan 2,031 undi dan calon Pejuang Isa Ahmad hanya memperoleh 65 undi.
-- BERNAMA