KLUANG: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menafikan dakwaan pembangkang kononnya calon BN pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota Syed Hussien Syed Abdullah mempunyai rekod jenayah.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri menyifatkan tindakan pembangkang itu sebagai modal kempen pihak yang sudah ketandusan isu selepas calon mereka tidak mendapat sambutan.

"Saya telah semak. Beliau (Syed Hussien) tidak ada rekod (jenayah) apatah lagi diheret ke mahkamah. Mengikut laporan yang saya baca, ketika umur 20-an, beliau cuba membela orang buta yang diganggu dan dipukul oleh satu kumpulan.

"Pembangkang ketandusan isu maka mereka mencari isu peribadi untuk menghilangkan keyakinan pengundi kepada Syed Hussien," katanya pada sidang media selepas menghadiri Program Tautan Kasih di Kampung Orang Asli Tanah Runtuh di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Rubiah Wang dan Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan.

Beliau berkata demikian bagi mengulas dakwaan Ahli Jawatankuasa Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Badrul Hisham Shaharin yang lebih dikenali sebagai Cikgu Bard yang menuntut penjelasan kononnya Syed Hussien mempunyai rekod jenayah dikatakan berlaku pada 2007.

Pada perkembangan berkaitan, Ahmad Zahid berkata jentera parti dan parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan menggiatkan usaha memujuk dan menarik pengundi luar termasuk di Singapura untuk pulang mengundi pada Sabtu ini.

Beliau berkata Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi telah memaklumkan bahawa kaunter di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di Tambak Johor akan beroperasi secara optimum bermula esok, bagi memudahkan mereka pulang.

"Kita yakin pengundi luar walaupun mungkin tidak 100 peratus balik, namun sebahagian besar mereka mempunyai kesedaran atas tanggungjawab sebagai pengundi dan warga bangsa Johor untuk pulang Sabtu ini, bagi menunaikan tanggungjawab mereka," katanya.

PRK DUN Mahkota menyaksikan pertembungan antara Syed Hussien dengan calon Perikatan Nasional (PN) Mohamad Haizan Jaafar.

PRK itu diadakan ekoran kematian penyandangnya Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, pada 2 Ogos lepas.

-- BERNAMA