PUTRAJAYA: Menteri Ekonomi Rafizi Ramli menegaskan beliau masih berpegang kepada pendirian agar mana-mana Perdana Menteri tidak sepatutnya memegang jawatan sebagai Menteri Kewangan.

Namun, kata Ahli Parlimen Pandan itu lagi, keadaan pada masa kini merupakan keadaan yang beliau sifatkan sebagai ‘luar biasa’, memandangkan tiada satu pun gabungan yang mampu membentuk kerajaan secara persendirian.

Jelasnya lagi, portfolio Kementerian Kewangan merupakan portfolio yang dikehendaki setiap gabungan, sehingga memaksa Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil keputusan yang sukar, dan memegang jawatan itu dahulu.

“Pada pandangan saya, itu satu keputusan yang sangat sukar yang telah diambil kerana bila kita ada gabungan yang masing-masing membentuk kerajaan, sudah tentu setiap komponen mahu jawatan Menteri Kewangan itu berada di pihak mereka.

“Jadi kalau contoh ada orang Pakatan Harapan jadi Menteri Kewangan pun, itu akan ada masalah kepada Barisan Nasional. Kalau Barisan Nasional yang pegang pun (mungkin) ada masalah kepada Pakatan Harapan atau Gabungan Parti Sarawak.

“Tapi kerana keadaan yang luar biasa, maka keputusan itu bagi saya sesuai buat masa sekarang, iaitu senang Perdana Menteri saja menjadi Menteri Kewangan.  Jadi tak timbul isu tentang gabungan berbeza. I hope as we move forward, we can put everything in place,” katanya lagi.

Rafizi bagaimanapun sekali lagi menegaskan bahawa prinsip beliau tetap sama, cuma keadaan itu memerlukan pengecualian dibuat.

Terdahulu beberapa pihak berpandangan tindakan Anwar memegang porfolio kewangan seperti bertentangan dengan prinsip Pakatan Harapan, yang sebelum ini mendakwa perlu ada pengurangan kuasa Perdana Menteri kerana dikhuatiri akan menjurus ke arah penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa.

Dalam hal yang berkaitan, Rafizi berkata, kerajaan pada masa kini tidak akan melucutkan Tan Sri Azam Baki daripada jawatannya sebagai Ketua Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, biarpun itu merupakan antara komitmen dan kempen PH ketika PRU15.

Beliau berkata, fokus kerajaan ialah untuk memastikan SPRM menjadi badan yang benar-benar bebas.

“Fokus kerajaan ialah untuk memastikan kebebasan institusi. Apabila kita berjaya memastikan tiada lagi gangguan, dan badan itu menjadi bebas, maka semua pihak akan berada pada landasan yang tepat,” katanya lagi.