KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang meneliti keperluan melaksanakan rasionalisasi subsidi kepada petrol RON95.


Ringkasan AI
  • Kerajaan sedang mengutamakan pelaksanaan subsidi diesel yang disasarkan untuk mengukuhkan kemampanan fiskal negara dan mengurangkan ketirisan dalam pengagihan subsidi.
  • Rasionalisasi subsidi petrol RON95 mungkin dilaksanakan pada masa depan dengan langkah-langkah yang sesuai untuk membantu golongan terkesan.
  • Penjimatan daripada subsidi diesel yang disasarkan akan digunakan untuk memperkukuhkan kedudukan fiskal dan melaksanakan program serta projek yang memberi manfaat kepada rakyat.


Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli bagaimanapun berkata, buat masa ini tumpuan dan keutamaan diberikan kepada pelaksanaan subsidi diesel sehingga penyasarannya menjadi stabil.

"Ia sekali gus mencapai objektif yang ditetapkan, antaranya untuk memperkukuh kemampanan fiskal negara serta mengurangkan ketirisan dalam pengagihan subsidi diesel.

"Sekiranya rasionalisasi subsidi ke atas petrol RON95 dilaksanakan pada masa akan datang, kerajaan akan mengambil langkah yang bersesuaian bagi memastikan golongan terkesan akan diberikan bantuan sewajarnya," katanya dalam jawapan bertulis yang dimuat naik di laman web Parlimen.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Datuk Seri Richard Riot Jaem (GPS-Serian) mengenai adakah melaksanakan pengurangan subsidi petrol memberi impak positif kepada rakyat.

Mengulas lanjut, Rafizi (PH-Pandan) berkata pelaksanaan pemberian subsidi diesel secara bersasar bermula 10 Jun dijangka dapat memberikan penjimatan sebanyak RM4 billion setahun.

Selain itu, ujarnya pelaksanaan inisiatif penyasaran subsidi berkenaan turut akan membantu kerajaan memperkukuhkan kedudukan fiskal dan mengoptimumkan sumber yang ada.

"Penjimatan daripada inisiatif penyasaran semula subsidi akan dipulangkan kepada rakyat melalui pelaksanaan program serta projek yang lebih memberi manfaat dan benar-benar diperlukan oleh rakyat.

"Ia seperti penambahbaikan dalam penyediaan perkhidmatan sosial serta kemudahan awam termasuk kesihatan, pendidikan, pengangkutan dan keselamatan," katanya.