Kerajaan Barisan Nasional (BN) akan sentiasa berlaku adil dan menghormati semua agama dan budaya yang diamalkan rakyat negara ini.

Justeru, perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mahu rakyat Sarawak terus memberi mandat kepada BN dalam meneruskan agenda pembangunan terutama di luar bandar.

"Saya percaya bahawa kita (BN) berlaku adil atas prinsip kebebasan beragama di Malaysia ini.

"Inilah perjuangan kerajaan BN menghormati kepercayaan, budaya setiap agama yang ada di dalam negara," ujarnya ketika melakukan tinjauan mesra di Dewan Undangan Negeri (Dun) N22 Kedup di sini hari ini.


Perdana Menteri berkata agenda itu tidak boleh diselesaikan dalam tempoh singkat, dan ia memerlukan perancangan rapi oleh kerajaan pusat dan negeri.

"Justeru, dalam pilihan raya Sarawak ini, penting bagi rakyat terus memberi sokongan kepada BN khususnya di bawah kepimpinan Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem bagi mendapatkan mandat dan meneruskan pembangunan.

"Sarawak akan duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan Semenanjung Malaysia. Oleh itu, saya komited untuk meluluskan pelbagai peruntukan dan melaksanakan projek pembangunan seperti Lebuhraya Pan Borneo dan sebagainya di Sarawak sebelum ini," katanya.

Pada majlis yang sama Najib turut mengumumkan peruntukan berjumlah RM1 juta daripada Kerajaan Pusat, selain peruntukan tambahan RM1 juta daripada kerajaan negeri bagi membina bangunan baru Gereja St Jude, Bunan di sini.

"Peruntukan RM2 juta antara Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri menggambarkan kerjasama yang erat atas nama kerajaan Barisan Nasional," katanya.

Selain calon BN N22 Kedup, Martin Ben, turut hadir sama pada majlis tinjauan mesra itu adalah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Richard Riot.