KUALA LUMPUR: UMNO pusat telah menerima senarai calon daripada UMNO Bahagian Kluang serta Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota dan akan mempertimbangkannya.

Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata pihaknya akan melakukan penilaian sebaiknya untuk memilih calon Barisan Nasional (BN) bagi PRK itu yang akan berlangsung 28 Sept ini.

"Kita masih menggunakan pendekatan WALI - 'winnability' (boleh menang), 'acceptibility' (kebolehterimaan) dan 'likeability' (disenangi). Itu jadi kriteria utama dalam pemilihan calon di Mahkota nanti.

"(Sama ada) muka baru (atau tidak) itu terserah parti. (Sama ada) anak muda atau wanita, pertimbangan akan diberikan secara seimbang," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melawat Laman Media sempena Perhimpunan Agung UMNO 2024 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur hari ini.

Terdahulu, Ketua Pemuda UMNO Dr Muhamad Akmal Saleh dalam ucapan dasar perhimpunan agung sayap itu menyatakan kesediaan untuk mengemudi PRK DUN Mahkota sekiranya diberikan kepercayaan sekali lagi selepas kejayaan di Nenggiri.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Mahkota pada 28 Sept manakala tarikh penamaan calon dan pengundian awal masing-masing ditetapkan pada 14 dan 24 Sept.

Pilihan raya itu diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, yang meninggal dunia pada 2 Ogos ketika dirawat di Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom (HEBHK), Kluang.

-- BERNAMA