SHAH ALAM: Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan mempersoalkan apa sebenarnya yang diinginkan oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Ia susulan isu dibangkitkan Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan yang menyifatkan perjumpaan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dengan dua pemimpin Perikatan Nasional (PN) sebelum ini, bukan perjumpaan rasmi.

"Saya ingin tanya Bersatu, apa sebenarnya yang mereka inginkan? Dibelai? Dimanjakan?

"Atau adakah hakikatnya ini bukan soal jumpa atau tidak jumpa. Bukan soal jumpa 'lunch' atau 'dinner' atau dalam pejabat sekalipun.

"Bukankah hakikatnya kalau jumpa 10 kali pun, delegasi mana sekalipun, jika tak dapat jawatan yang diidamkan masih akan mencari seribu satu alasan untuk biadab?" katanya menerusi hantaran di Facebook pada Isnin.


Shahril turut mempersoalkan tuduhan Wan Saiful yang mengaitkan Ismail Sabri sebagai takut berdepan rakan-rakan pemimpin parti dalam kerajaan.

"Kalau PM takut, adakah beliau akan mengatakan bahawa kerajaan bersedia mengadakan PRU jika mana-mana parti tarik diri atau ‘tekan butang’?" soalnya.

Turut disentuh Shahril mengenai tindakan Wan Saiful yang mempersoalkan sama ada wujud perkara yang mahu disembunyikan Ismail Sabri seperti isu berkaitan projek kapal tempur pesisir (LCS).

Katanya, isu tersebut langsung tiada kaitan kerana Ismail Sabri dan wakil-wakil UMNO lain senada, mahu siasatan oleh pihak berkuasa bagi pendedahan isu LCS bukan hanya isu kelemahan tadbir urus dan kelewatan.

"Jika siasatan menunjukkan sesiapa sahaja didapati menyalahguna kuasa menyeleweng apa-apa dana dari projek LCS ini, mereka itu sama ada ahli perniagaan, penjawat awam, mahupun ahli politik daripada mana-mana parti wajar diambil tindakan undang-undang.

"Dari mana-mana parti ya, Wan Saiful. Sebab ramai juga yang dulu partinya UMNO sekarang melompat ke PPBM," katanya.

Sabtu lalu, Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO memaklumkan, beliau sudah mengadakan pertemuan dengan PN yang dihadiri Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Bendahari PN, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar pada 4 Ogos lalu .

Menurutnya, kedua-dua pihak sudah menyampaikan pandangan masing-masing.

Pada 2 Julai lalu, Muhyiddin mengesahkan bertemu Ismail Sabri bagi membincangkan lantikan jawatan baharu, termasuk TPM, selain beberapa perkara penting berlandaskan kandungan perjanjian antara PN dan Perdana Menteri. -Sinar Harian