KOTA KINABALU: Pendirian komited UMNO Sabah menerusi Pengerusi Perhubungannya, Datuk Seri Bung Moktar Radin yang terus mempertahankan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) haruslah dipuji.

Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah, Khairul Firdaus Akbar Khan berkata, pihaknya menyambut baik kenyataan daripada Timbalan Ketua Menteri Sabah itu yang tetap meneruskan kerjasama politik berkenaan.

"Bersatu Sabah cukup yakin dengan kepimpinan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor yang dibantu oleh Datuk Seri Bung Moktar akan dapat membawa satu kemajuan yang di mahukan oleh rakyat Sabah dapat dikecapi.

"Fokus utama kerajaan GRS adalah untuk memastikan segala perancangan untuk rakyat dapat disegerakan," katanya.

BACA: UMNO, GRS kekal bentuk kerajaan di Sabah - Bung Moktar

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan medianya berhubung senario terkini GRS di Sabah.

Hari ini, Bung Moktar sekali lagi menjelaskan pendirian beliau yang tetap mempertahankan GRS meskipun keadaan politik bergolak di Semenanjung Malaysia, ekoran UMNO pusat  yang memuktamadkan keputusan memutuskan hubungan dengan Bersatu.

Sementara itu, Khairul Firdaus turut mendedahkan faktor utama negeri Sabah masih tidak dapat mengecapi kejayaan seperti yang diharapkan adalah disebabkan seringkali bertukar kerajaan.

"Maka dengan itu, sudah tiba masanya perjuangan untuk rakyat menjadi agenda utama dalam pentadbiran kerajaan GRS.

"Hubungan antara parti-parti yang lain di bawah payung GRS akan sentiasa dipelihara," katanya.

Tambah beliau, perjuangan hak-hak negeri Sabah dapat diperhebatkan lagi dengan adanya suatu gabungan yang kuat di bawah payung GRS.