JIKA 2018 adalah ujian pra-permulaan untuk kerajaan baru Pakatan Harapan (PH), maka dengan melabuhnya tirai 2018, lembaran 2019 adalah ujian sebenar kemampuan PH memimpin Malaysia Baru.

PH akan fokus kepada program yang menterjemahkan hasrat kerajaan baru dan memenuhi kehendak rakyat untuk memberikan mereka kehidupan yang lebih baik.

Isu kehidupan seharian yang merentasi setiap segmen masyarakat akan dapat dirasai keberkesanannya dan dengan itu PH akan terbukti lebih praktikal dalam dasar pembelaan rakyat yang diperjuangkannya.

Disinilah cabaran yang menanti kerajaan, iaitu dari sudut keberkesanan bagaimana kekayaan negara hendak diagihkan kepada golongan yang memerlukan. Pembelaan B40 adalah tumpuan keutamaan dalam keadaan kantong negara terbatas isinya dan PH terhimpit dengan hutang negara hasil peninggalan kerajaan lama BN.

Bagaimana pada waktu yang sama kaedah pendekatan subsidi bersasar akan sampai kepada penerimanya bagi meminimakan impak ketirisan. Pengumuman harga petrol akan turun Januari 2019 adalah usaha kerajaan mengawal kesan berantai yang ditanggung oleh pengguna.

Begitu juga pembekuan kenaikan harga tol adalah usaha murni meminimakan kos sara hidup yang tinggi. Cabarannya tidak semudah yang dijangka tetapi PH mampu dan sanggup mengharunginya.

Merancakkan ekonomi domestik akan menghasilkan pendapatan kepada kerajaan namun pada waktu yang sama memastikan kuasa membeli lebih baik di kalangan pengguna pasti menjadi cabaran 2019 kepada kerajaan PH.

Paling mencabar ialah bagaimana institusi kepimpinan negara dapat meningkatkan kredibiliti dan integriti melibatkan Parlimen, Eksekutif , Kehakiman, Penguatkuasaan dan Perkhidmatan Awam.

Langkah memastikan ketelusan dan akauntabiliti dalam usaha memerangi korupsi menjadi keutamaan kerajaan yang bertujuan menghidupkan semula keyakinan hubungan rakyat dan pemimpin yang terhakis sebelum ini.

Undang-undang yang menginstitusikan ketelusan seperti Akta Pembiyaan Parti Politik, Akta Perkhidmatan Parlimen dan lain-lain akta relevan mesti diwartakan pada tahun 2019. Komitmen ini penting untuk memulakan budaya akauntabiliti dan menutup pintu-pintu rasuah.

Kalau 2018 adalah usaha pembersihan daripada skandal besar 1MDB, FELDA, Tabung Haji (TH) yang menipiskan kepercayaan rakyat kepada kerajaan, maka 2019 adalah usaha pemulihan dan penstrukturan semula secara praktikal dan berkesan. Hanya dengan mengembalikan agensi besar kerajaan kepada landasannya yang sebenar, keyakinan dapat dipulihkan.

Ini adalah satu cabaran besar kepada kerajaan PH untuk membuktikan kewibawaanya dengan tagline yang membawanya ke persada kuasa iaitu untuk 'selamatkan negara'. Proses pengadilan perlu menampakkan hasilnya supaya pesalah dalam mengkhianati amanah negara dikenakan hukuman setimpal.

Dari sudut perisian lembutnya, tiada yang lebih mencabar daripada menangani isu perkauman sempit dan 'penunggang agama' yang berleluasa. Ia bukan sesuatu yang pelik apabila ruang ini terbuka luas untuk gerombolan ini kerana kerajaan PH mengamalkan kebebasan bersuara.

Harga yang dibayar untuk mencapai kemenangan PH ini adalah semua aliran akan diberi ruang untuk menyatakan sikapnya tidak terkecuali kelompok kiri dan kanan. Kebebasan ini berpotensi disalahgunakan tanpa naluri tanggungjawab apatah lagi ruang dan peluang mensensasikan isu kaum dan agama terbuka luas.

Justeru, ruang kebebasan ini mestilah ada mekanisma memelihara sensiviti agama dan kaum tidak dicetuskan, dan kerana itu, pada tahun 2019 perlu dijayakan Undang-Undang Keharmonian Nasional bagi menghukum pencetus kebencian kaum dan agama dan pada waktu yang sama kebebasan tidak terjejas.

Cabaran kepada kerajaan lagi ialah bagaimana politik keterbukaan yang baru ini mampu dikawal oleh aliran yang 'lebih di tengah' bertindak sebagai faktor penarik antara dua ekstrim.

Membina kekuatan 'aliran tengah' dalam usia PH yang masih muda memerlukan kekuatan ideologi politik tengah yang dijelmakan dalam naratif Malaysia Baru.

Undang-undang bukan lagi faktor mutlak menyekat kebebasan bersuara walaupun ia masih diperlukan bagi mengelak anarkisma dan keselamatan negara tetapi persaingan ideologi adalah medan yang lebih utama dan kerana itu menjadi cabaran 2019 Malaysia Baru menguruskan kebebasan ini secara sihat dan berkesan.

Ideologi Malaysia Baru diyakini mampu menampung keperluan ini dan 2019 adalah tahun kepimpinan kerajaan menyahut cabaran ini.

Malaysia Baru tidak turun dari langit usai menang PH pasca PRU 14, tetapi ia hanyalah pembuka jalan kepada proses membentuk, membina dan memunculkannya sebagai gagasan negara untuk menempuh segala cabaran mendatang.

Malaysia Baru menjangkau 2020 malah ia adalah kesinambungan evolusi seterusnya dan amatlah penting rakyat Malaysia memahami dan menghadamkannya untuk kepentingan semua.

Dari sudut keberadaan Islam dalam kerangka negara, 2019 adalah perlaksanaan keadaan falsafah tiga teras utama pentadbiran Islam yang telah diperkenalkan pada tahun 2018.

Rahmatan Lil Alamin, Maqasid Syariah dan Model Malaysia akan diperincikan dari sudut mencetuskan kesedaran massa, melaksanakan program dan menilai keberhasilannya. Program ini penting untuk mengukur sejauhmana kejayaan Malaysia tidak terheret ke perangkap kelompok ekstrim dan radikal dan ia akan tertakluk kepada sejauhmana kejayaan tiga teras utama dapat diterapkan.

Pada waktu yang sama kemunculan kelompok yang mahukan Islam ditafsirkan mengikut acuan yang longgar dan cair akan ditangani melalui pendekatan Islam sebagai Rahmatan Lil Alamin sepanjang 2019 nanti.

Sesiapa yang menganggap 2019 adalah jalan mudah bagi kerajaan baru membawa agendanya pastinya tidak menghayati perjuangan panjang para pejuang era Reformasi yang pada penghujung cita-citanya mendambakan Malaysia Baru.

Pihak pembangkang yang bergelut mahu merampas kuasa dari PH akan mempersenda dan memperkecilkan langkah Malaysia Baru.

Dalam proses itu mereka tidak teragak-agak bersaing secara tidak sihat seperti mensabotaj dengan nuansa rasis dan fahaman agama yang sempit. Gelanggang media sosial akan terus menjadi alat berperanan untuk memenuhi kehendak pembangkang walaupun melalui fitnah dan penipuan.

2019 adalah permulaan perjalanan secara praktikal ke arah membina Malaysia Baru. Saya menganggap 2019 adalah sebuah tirai harapan untuk melihat pencapaian bermakna ke arah Malaysia Baru yang didambakan.

SELAMAT TAHUN BARU 2019


*Dr Mujahid Yusof Rawa merupakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang memegang portfolio Agama. Beliau juga merupakan Naib Presiden Parti Amanah Negara.

**Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.