Kerusi Parlimen Miri bakal menyaksikan perlawanan tiga penjuru apabila Pas Sarawak menyatakan minat mereka untuk bertanding di kerusi kawasan bandar itu dalam Pilihanraya Umum Ke-14 (PRU14) akan datang.

Pesuruhjaya Pas Sarawak Jofrie Jaraiee berkata penyokong Pas di bandaraya Miri telah meminta parti itu menamakan calon bagi kerusi Parlimen Miri.

"Kita akan mempertimbangkan hasrat penyokong Pas serta anggota parti di bandaraya Miri sekiranya menerima lampu hijau daripada ibu pejabat parti untuk bertanding kawasan itu," katanya dalam sidang akhbar di sini.

Dengan Pas memasuki gelanggang bermakna kerusi Parlimen Miri yang pernah menjadi kubu kuat Barisan Nasional (BN) tetapi tewas kepada PKR dalam PRU13 akan menyaksikan pertarungan antara BN, Pakatan Harapan dan Pas.

Dengan pengumuman itu dan sekiranya mendapat restu ibu pejabat parti, bermakna Pas Sarawak akan bertanding di enam kerusi Parlimen di negeri itu dalam PRU14 nanti.

Pada 1 Mac lepas, Pas Sarawak mengumumkan bahawa parti itu akan bertanding di lima kerusi Parlimen dalam PRU14 dengan mengetengahkan seorang calon bukan Islam.

Jofrie dipetik sebagai berkata bahawa pihaknya telah menyerahkan senarai nama calon kepada ibu pejabat parti pada 26 Feb lepas tetapi enggan menamakan kerusi yang akan ditandingi oleh parti itu.

Beliau berkata kesemua calon berusia antara 30 hingga 60 tahun termasuk seorang calon bukan Islam.

Dalam PRU13 Pas bertanding di lima kerusi parlimen tetapi kalah kesemuanya dan buat pertama kalinya dalam pilihan raya Dewan Undangan Negeri pada 2016 parti itu mengetengahkan calon bukan Islam, Clemen Bayang seorang artis rakaman yang bertanding di DUN Kakus tetapi kalah di kerusi majoriti Iban itu.

-- BERNAMA