Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad berkata ini kerana situasi politik semasa di negeri itu amat berbeza sekiranya ia dibandingkan dengan Persekutuan.
Tegasnya, sebaliknya ketika ini Kerajaan Perak mahu memberi fokus kepada usaha membangunkan negeri pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
“Di Pusat ia ada beberapa parti seperti PH, BN, Perikatan Nasional (PN), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Warisan dan sebagainya.
“Akan tetapi di Perak, kita cuma ada tiga sahaja gabungan parti sahaja iaitu BN, PN dan PH. Jadi, dengan mudah kita boleh buat keputusan dan kita teruskan apa yang telah kita buat.
“Sebab itu kita dah mulakan selepas menteri besar angkat sumpah, Exco pula angkat sumpah, dan pada hari ini kita terus dengan mesyuarat Exco pertama. Selepasi ini kita buat sidang Dewan Negeri. Oleh itu kita ‘move on’ dan jalan terus (walau apa berlaku di Persekutuan),” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media Pengumuman Senarai Portfolio Exco di Bangunan Perak Darul Ridzuan dekat sini pada Rabu.
Pada Isnin, Saarani yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Tampan mengangkat sumpah jawatan sebagai Menteri Besar Perak ke-15 di hadapan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pada Isnin.
Hasil keputusan PRU15, Kerajaan Perak ditubuhkan terdiri daripada gabungan PH yang memenangi 24 kerusi dan BN dengan sembilan kerusi.
Sementara Perikatan Nasional (PN) mendapat 26 kerusi daripada 59 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak.
Dalam pada itu, ditanya tentang perjalanan Mesyuarat Exco pada hari pertama pagi tadi, Saarani berkata ia berjalan dengan baik selain memberitahu agenda Perak Sejahtera 2030 akan tetap diteruskan pentadbiran baharu.
Selain itu, katanya beliau juga mengingatkan kepada semua Exco untuk meminimumkan kepentingan politik masing-masing serta tidak membuat sebarang kenyataan berbaur perkauman dan mengguriskan perasaan rakyat.
“Saya beri peluang kepada semua Exco untuk berucap dan mereka juga berucap menjurus kepada perkara sama iaitu untuk menyatukan hati masing-masing dan mengurangkan segala ketegangan.
“Sebaliknya kita cari titik pertemuan untuk pembangunan Negeri Perak dan saya gembira kerana pada fasa pertama ini ia berjalan dengan baik,” katanya lagi.