Bekas Pengerusi PKR Perak yang tewas dalam perebutan kerusi Naib Presiden PKR itu mendakwa, Rafizi sendiri cuba mempengaruhi Presiden parti mereka.
Farhash berkata, beliau menyangkal sekeras-kerasnya dakwaan Rafizi yang berbaur fitnah dan jahat terhadapnya dan usaha mereka di peringkat akar umbi untuk memastikan ketelusan dan keadilan ditegakkan dalam keputusan Pemilihan Parti 2022 yang disiarkan pada Isnin.
“Rafizi tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan seolah-olah beliau tidak tahu-menahu tentang kepincangan yang berlaku dalam proses Pemilihan Parti tempohari.
“Laporan dan aduan terhadap kepincangan yang berlaku dalam Pemilihan Parti telah dibuat oleh ratusan anggota dan calon-calon atas keputusan yang dilihat tidak munasabah. Usaha untuk menegakkan ketelusan dan keadilan ini bukanlah usaha saya seorang,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Baru-baru ini, Rafizi mendakwa terdapat kumpulan dalam parti yang tidak dapat menerima kekalahan, dan mendesak Anwar untuk mengadakan pemilihan semula, atau sekurang-kurangnya membuat audit digital terhadap proses pemilihan tersebut.
Untuk rekod, Rafizi berjaya menewaskan Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail untuk jawatan nombor dua parti, manakala Farhash gagal dalam cubaan merebut kerusi Naib Presiden dan Ketua Cabang Keadilan Gombak.
Susulan keputusan tersebut, Rafizi mencadangkan agar Kongres Nasional Keadilan dilakukan secepat mungkin, tanpa melayan karenah calon yang kalah dalam pemilihan.
Mengulas lanjut. Farhash berkata, tuntutan mereka adalah seperti juga apa yang parti dan pemimpin yang lain telah perjuangkan dalam gerakan menuntut pilihanraya yang bersih, telus dan adil.
“Selama lebih 20 tahun perjuangan ini, kita berjaya memastikan sekurang-kurangnya pengiraan undi dalam Pilihanraya Umum dan Negeri dilakukan secara telus, di hadapan ramai saksi, supaya tidak berlaku manipulasi.
“Tetapi agak pelik apabila Rafizi kini mempersoalkan, malah mengkritik dengan melemparkan fitnah ke atas tuntutan kami untuk ketelusan dijamin dengan semua undi, termasuk undi atas talian dibuat pengiraan semula di hadapan saksi, bukan secara rahsia seperti yang telah dilakukan,” katanya lagi.
“Sebagai solusi, saya juga sangat setuju dengan saranan Rafizi supaya pihak yang melakukan audit forensik itu turut disiasat, asalkan audit dibuat di hadapan calon atau wakil. Seperti saranan kami dari awal, audit ini harus bersifat telus dengan membuat kiraan semula semua undi termasuk PAT di hadapan saksi.
“Sistem dan pihak-pihak yang terlibat dalam pengendalian aplikasi ADIL juga harus disiasat dan laporan auditnya dibentangkan untuk tatapan semua anggota parti,” katanya lagi.
Selain itu Farhash berkata beliau ingin menasihati Rafizi supaya lebih ikhlas, jujur, dan berhenti bersandiwara.