KUALA LUMPUR:Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh menyeru agar blok pembangkang kekal bersatu dan memastikan kebajikan rakyat terus diutamakan.

Jelasnya, rakyat sendiri boleh menilai apa yang sedang dan sudah berlaku di dalam Dewan Rakyat terutamanya dalam proses kelulusan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2021 yang sehingga kini masih lagi diperdebatkan.

"Sebagai ahli Parlimen pembangkang, apa yang lebih penting untuk kita kekal bersatu, dan apa yang penting adalah keutamaan rakyat.

"Saya tidak mahu mengulas lanjut berkenaan kejadian yang berlaku minggu lalu di Dewan Rakyat, bagi pihak DAP, Anthony Loke sudah mengeluarkan kenyataan.

"Saya berada di Parlimen hampir setiap hari dan meniliti isu-isu yang perlu diperdebatkan. Apa yang orang tidak nampak ketika ini adalah, tidak pernah lagi pembentangan belanjawan diperdebatkan setiap hari dan meminta penjelasan yang terperinci oleh menteri yang terlibat," ujarnya.

BACA: 'Saya beri arahan ahli Parlimen DAP jangan bangun' - Anthony Loke

 
Sumber Facebook hannahyeoh


Beliau berkata demikian dalam forum  secara maya yang dianjurkan Sabah Unity Movement pada Rabu.

Malah ujarnya, orang ramai juga dapat menilai perdebatan itu melalui media sosial.

Justeru, tegasnya, pihak pembangkang perlu bersatu dan berpegang kepada satu tujuan dan mengutamakan kebajikan rakyat memandangkan pengundi sudah memilih mereka.

BACA: PH semakin lemah, tiada kerjasama, tiada sefahaman - Penganalisis

BACA: Tukar Ketua Pembangkang, pemimpin muda pun boleh - Ketua Whip Warisan


Terdahulu, Ahli Parlimen dari Parti Warisan Sabah (Warisan) dilaporkan bersepakat untuk tidak hadir dalam sesi undian RUU Perbekalan 2021 pada isnin adalah kerana tidak puas hati terhadap kepimpinan Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozman Ali, ketiadaan mereka di Dewan Rakyat memang disengajakan.