KUALA LUMPUR: Pergerakan Puteri UMNO meminta agar pimpinan tertinggi parti itu mengkaji semula sebarang bentuk kerjasama dengan Pas menerusi Muafakat Nasional (MN).

Exco Pergerakan Puteri UMNO, Norfadzlete Aryani Mat Rosli berkata, ini kerana, tindakan Pas yang menyertai Perikatan Nasional (PN) jelas tidak ubah seperti pengkhianat kepada MN.

Dia yang juga Ketua Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Gua Musang berkata, tindakan Pas yang menyertai PN bukan sahaja melukakan hati UMNO, malah disifatkan sebagai membelakangkan kerjasama dalam MN.

"(Sedangkan), titik persamaaan UMNO dengan Pas telah berjaya meletakkan asas penting dalam Perlembagaan Malaysia iaitu kedudukan Islam, Bumiputera bahasa kebangsaan dan hak masyarakat majmuk.

"Namun, setahun setengah telah berlalu, tetapi malangnya, situasi dilihat kini mula berbeza. Walapun UMNO dan Pas berjaya membentuk kerajaan baharu melalui PN, tetapi hubungan antara Pas dan UMNO menerusi MN semakin hambar," katanya ketika Sesi Perbahasan Ucapan Dasar Sayap Puteri UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO 2020 (PAU2020) di sini, pada Sabtu.

Dalam pada itu, Norfadzlete berkata, Pergerakan Puteri menyokong cadangan untuk memutuskan sebarang kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) serta-merta.

"Kerjasama UMNO dalam PN adalah perjanjian antara ahli Parlimen dan bukan daripada (sokongan) akar umbi.

"Meskipun keputusan parti dalam mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) baru-baru ini telah membuat ketetapan untuk memutuskan hubungan dengan PN sehingga Parlimen dibubarkan, tetapi sebolehnya hubungan dengan PN ini kita putuskan secepat mungkin.

"Kenapa perlu tunggu sampai Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15)?  Kenapa tidak hari ini kita putuskan kerjasama ini (kerana) kita tidak tahu bila PRU-15 dan tidak tahu bila Parlimen dibubarkan," katanya.

Beliau menambah, Pergerakan Sayap Puteri turut meminta agar kepimpinan parti menyokong usul pelaksanaan undi 18 tahun (Undi 18) dan perlu diteruskan dalam PRU-15.

"Anak muda akan melihat hari ini siapa perjuang Undi 18 dan jika kita tidak ambil peluang untuk bersama anak muda, tidak mustahil anak muda akan menolak kita.

"(Dan), selepas ini anak muda juga akan  kembali menghukum kita kalau kita tidak pertahankan mereka," ujarnya lagi.