KUALA LUMPUR: Tiga pemimpin kanan Barisan Nasional (BN) dilihat tiba di Istana Negara bagi menghadap Yang di-Pertuan Agong hari ini.

Mereka ialah Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang tiba sekitar pukul 10.45 pagi.

Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO dilihat menaiki kenderaan utiliti sukan (SUV) berwarna putih.

Ia disusuli dengan kenderaan yang membawa Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir.

Sebelum itu, kenderaan pertama yang dilihat tiba membawa Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohammad Hassan.

Istana Negara semalam menitahkan 30 Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) menghadap Yang di-Pertuan Agong bermula pukul 10.30 pagi ini.

Proses berkenaan bagi membolehkan Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dapat membuat keputusan bagi melantik seorang Dewan Rakyat yang pada hemat baginda mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat sebagai Perdana Menteri.

Selain tiga pemimpin BN, turut dilihat memasuki Istana Negara melalui pintu 2 ialah Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun.