Selepas Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dijatuhkan hukuman penjara selama lima tahun pada Selasa, tidak pelik jika banyak persoalan berlegar di minda kita terutamanya persoalan jika semangat kerjasama Pakatan Rakyat (PR) untuk kekal bersatu semakin utuh atau semakin runtuh.

Orang ramai mahu mengetahui apakah perancangan PR selepas keputusan Mahkamah Persekutuan terhadap Anwar semalam dapat mengekalkan kerjasama politik antara mereka.

Penganalisis politik Prof James Chin berkata kerjasama PR akan terus bertambah kuat, melainkan Parti Islam SeMalaysia (PAS) melaksanakan undang-undang syariah Hudud di negara ini.

“Solusi yang terbaik untuk semua bagi PR adalah kesemua pemimpin utama PR yang sedia ada ini meletak jawatan dan memberi peluang kepada generasi yang baru untuk memimpin,” kata beliau yang kini merupakan Pengarah Asia Institute di University of Tasmania, Amerika Syarikat.

Sementara itu, penganalisis politik Prof Madya Dr Shaharuddin Badarudin berkata kerjasama PR masih kuat jika dilihat berdasarkan mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat yang diadakan, baru-baru ini.

Mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat pada Ahad bersetuju untuk mengadakan satu mesyuarat khas bagi membincangkan isu enakmen jenayah syariah atau hudud serta isu pilihan raya Pihak Berkuasa Tempatan, PBT.
Mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat pada 8 Februari lalu yang bersetuju untuk mengadakan satu mesyuarat khas bagi membincangkan isu enakmen jenayah syariah atau hudud serta isu pilihan raya Pihak Berkuasa Tempatan, PBT. - Gambar Hiekal Rosli
“Saya melihat PAS, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Tindakan Demokratik (DAP) dapat meneruskan komitmen mereka dalam cuba menyelesaikan masalah bersama dalam mesyuarat itu.

“Kalau mereka terus bekerjasama, tidak akan menimbulkan masalah kerana bukan sekali Anwar dipenjarakan,” tambah beliau.

Shaharuddin yang juga pensyarah di Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi Mara (UiTM) memberi contoh pada tahun 1999 untuk memperlihat keutuhan kerjasama PR.

“Bagi saya ada 'cause of action' yang bermakna satu isu kebersamaan. Pada tahun 1999, melihatkan ketiga-tiga parti itu bekerjasama dengan baik walau Anwar masih dipenjara.

“Memang Anwar mempunyai personaliti yang memperkuat kerjasama PR namun parti-parti dalam PR ini juga boleh bekerjasama tanpa Anwar. Lihat sahaja kerjasama mereka dalam Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu. Ketiadaan Anwar kali ini pastinya menguatkan semangat mereka ini PRU yang akan datang,” kata beliau.

Petisyen desak pembebasan Anwar dibuat di laman web White House

Pada Rabu, satu petisyen sedang dibuat untuk mendesak pembebasan Anwar. James menyifatkan itu hanya sekadar untuk meraih perhatian media.

“White House Petition hanya boleh ditandatangani oleh rakyat Amerika Syarikat. Perkara itu tidak akan berlaku apa-apa kerana dasar luar itu adalah bersifat prerogatif presiden.

“Kalau 100 ribu orang memberi tandatangan pun, pihak White House hanya boleh memberi respon balas bertulis, tiada tindakan akan dilakukan,” kata James.

James yang sebelum ini penganalisis politik di Sunway Monash University berkata hanya satu cara Anwar boleh dibebaskan iaitu dengan mendapat pengampunan Yang di-Pertuan Agong.

James juga berkata usul parlimen yang dicadang Presiden PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail semalam akan ditolak speaker kerana sistem kehakiman Malaysia adalah satu badan yang berdiri sendiri dalam parlimen Malaysia.


Bagi saya ada 'cause of action' yang bermakna satu isu kebersamaan
Shaharuddin pula menyifatkan pendekatan PR kini dilakukan secara berbeza dengan apa yang berlaku pada tahun 1999 dimana strategi mereka bukan sahaja meraih simpati rakyat Malaysia tetapi juga masyarakat di seluruh dunia.

“Keadaan ini berbeza apa yang berlaku pada tahun 1999. Dulu walau setipis manapun usaha, mereka tetap mendapat simpati masyarakat namun kali ini ia merupakan kondisi yang berbeza, faktor yang berbeza dan suasana yang berbeza. Ada strategi yang memberi kesan untuk jangka masa panjang dan ada yang memberi kesan untuk jangka masa pendek,” kata Shaharudin.

LIHAT [INFOGRAFIK]: KRONOLOGI - KES LIWAT II ANWAR IBRAHIM