KUALA LUMPUR: Pemuda UMNO terkilan dengan sikap kerajaan yang dilihat cuba berdolak-dalik dan mempolemikkan istilah ‘secepat mungkin’ dan ‘segera’ dalam isu pembukaan semula Parlimen yang didakwa beliau menunjukkan seolah-olah tidak menghormati titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Pemerintah.  

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk  Asyraf Wajdi Dusuki menegaskan, sidang Parlimen amat mustahak untuk disegerakan bagi membolehkan suara rakyat yang keresahan pada masa pandemik COVID-19 ini dapat dibahas dan diangkat secara rasmi oleh wakil-wakil mereka.

"Justeru, Pemuda UMNO mendesak Kerajaan segera mengeluarkan notis panggilan bagi membolehkan Parlimen bersidang sebelum darurat tamat 1 Ogos 2021 bagi mentaati dan menghormati titah pandangan dan pendirian Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Pemerintah.

"Kegagalan melaksanakan titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Pemerintah ini boleh dianggap sebagai satu bentuk penderhakaan," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

BACA: Zahid persoal mengapa Parlimen dibenar bersidang selepas fasa ketiga Pelan Pemulihan Negara

BACA: 
UMNO tolak darurat, Parlimen wajar bersidang - Zahid

Sebelum ini, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad dalam satu kenyataan pada 16 Jun berkata, Raja-Raja Pemerintah menyokong dan senada dengan pendirian Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang menitahkan agar Parlimen segera bersidang.

Beliau berkata, Raja-raja Melayu bertitah bahawa perkara itu penting bagi menghormati mekanisme semak dan imbang sebagai antara cabang eksekutif, cabang legislatif dan cabang kehakiman untuk menjamin berlakunya tadbir urus yang telus, berintegriti dan bertanggungjawab kepada rakyat terutama dalam hal-ehwal kewangan dan perbelanjaan negara.

Dalam pada itu, Asyraf berkata, pihaknya akan mendesak kepimpinan tertinggi UMNO untuk membuat keputusan tegas sekiranya kerajaan tidak mengadakan sidang Parlimen dalam tempoh terdekat.

"Ini seiring dengan asas dan tujuan perjuangan UMNO untuk sentiasa membela dan mempertahankan kepentingan Raja-Raja Melayu sebagaimana Fasal 3 Perlembagaan UMNO," katanya.

Sebelum ini, Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mempersoalkan keputusan kerajaan yang hanya akan membenarkan Parlimen bersidang selepas 40 peratus populasi negara menerima dua dos suntikan vaksin COVID-19.

Zahid berkata, Ahli-ahli Parlimen telah lama menerima suntikan vaksin COVID-19 justeru sidang Parlimen selamat untuk diadakan.