Dalam catatan terbaharu di Facebooknya, Ahli Parlimen Pekan itu berkata, beliau mengambil contoh tindakan yang dilakukan ayahandanya, Allahyarham Tun Abdul Razak pada 1973 dengan mengasaskan Barisan Nasional (BN) dan membenarkan kemasukan ‘musuh’ UMNO ketika itu - Parti Gerakan Rakyat Malaysia, PPP (Parti Progresif Penduduk) dan juga Pas.
Menurut Najib, pemikiran Abdul Razak pada ketika itu adalah mengenai agenda paling penting iaitu kestabilan dalam negara untuk memulihkan negara.
“Dari (peristiwa) ini, saya diajar bahawa politik ini adalah dinamik dan kita perlu sentiasa kaji apakah langkah boleh diterima oleh ahli-ahli kita yang paling sesuai bagi parti dan kepentingan negara,” kata bekas Presiden UMNO dan Pengerusi BN itu lagi.
BACA: Tiada sebab UMNO tidak boleh bekerjasama dengan 'musuh', asalkan diterima akar umbi - Najib
Mengimbas sejarah lepas, Najib berkata, sesiapapun pada tahun 2017 akan kurang percaya bahawa Pas yang ketika itu seteru politik akan bersama-sama dengan UMNO dan membentuk Muafakat Nasional pada 2018.
Bahkan, jelas beliau, sesiapa pun pada akhir 2019 juga akan kurang percaya bahawa Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang UMNO tentang pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai dan Kimanis, akhirnya bersama-sama membentuk kerajaan baharu pada Februari 2020.
“Ia juga menjadi realiti sebab ahli-ahli UMNO dan BN bersetuju untuk bekerjasama dengan PPBM masa itu (tetapi kini ditolak oleh majoriti ahli).
“Jadi, apa langkah untuk berkerjasama dan siapa yang kita mahu berpakat (dengan) perlu dipersetujui dan diterima majoriti ahli-ahli dan pemimpin-pemimpin UMNO-BN dan wajar dikaji demi masa depan parti dan juga demi kepentingan bangsa, agama dan negara,” kata beliau dalam hantaran itu.
Namun Najib sekali lagi menegaskan, apa sahaja langkah yang melibatkan dasar dan hala tuju parti, harus bersandarkan kepada syarat bahawa ia mesti diterima pemimpin dan akar umbi UMNO.
Selain itu, katanya lagi, jika sudah diterima, kerjasama itu pula harus berlandaskan kepada keikhlasan dan mempunyai trust (kepercayaan) sesama mereka.
“Jika majoriti ahli-ahli parti bersetuju untuk bekerjasama dengan Tun (Dr) Mahathir (Presiden Interim Parti Pejuang Tanah Air) atau Mat Sabu (Presiden Parti Amanah Negara), atau Shafie Apdal (Presiden Parti Warisan Sabah), kita explore (teroka).
“Jika majoriti ahli-ahli parti bantah untuk kita bekerjasama dengan Anwar Ibrahim, atau DAP, atau Shafie Apdal, kita tak teruskan. ‘Explore all options and think out of the box’ kata orang putih,” katanya lagi.
NOTA EDITOR: Berikut disertakan soalan asal Editor Kanan Astro AWANI, Dzulfitri Yusop dan jawapan penuh Datuk Seri Najib Tun Razak
[Astro AWANI] Baru-baru ini, Datuk Seri juga dilihat lebih terbuka dengan menyarankan BN supaya melihat di luar kerangka konvensional dengan menyatakan sokongan terhadap parti yang selama ini memusuhi UMNO. Boleh Datuk Seri jelaskan rasional di sebalik idea berkenaan?
[Najib Razak] Kalau lihat pada PH pun siapa boleh fikirkan Dr Mahathir dan Anwar Ibrahim boleh bersama-sama dalam satu pakatan politik nak jatuhkan Barisan Nasional.
Tetapi ia berlaku. Dr Mahathir dengan DAP umpamanya, boleh duduk semeja, boleh lantik DAP jawatan-jawatan yang penting.
Itu semua kita tak terfikir, tetapi berlaku. Dalam konteks hari ini, saya katakan kita lihat pada semua option dengan satu syarat – mesti diterima pemimpin dan ahli-ahli UMNO.
Apa pun kita nak buat, mereka boleh... mesti diterima oleh akar umbi terutama sekali akar umbi, bahagian-bahagian mesti terima apa kita nak lakukan.
[Astro AWANI] Datuk Seri terbuka kerjasama dengan musuh itu, mungkin kerana itu dinamik pada politik hari ini. Adakah itu juga akan digerakan pada masa-masa akan datang Datuk Seri?
[Najib Razak] Apa nama orang putih kata ‘politics is the art of possible’. Saya tak nampak apa-apa sebab kita tak boleh ada sikap keterbukaan kita untuk kerjasama, dengan syarat ahli-ahli dan pemimpin UMNO mesti boleh terima, dan mereka ikhlas, ada trust dalam kerjasama.
Tapi kalau kita nak buat satu pakatan politik baharu, tetapi tidak berdasar pada kebolehpercayaan atau trust, ia akan runtuh, lambat-laun akan runtuh. Ia berlaku pada PH sebab asas trust itu tak ada.
[Astro AWANI] Tapi boleh diyakinkan ahli-ahli dan juga penyokong?
[Najib Razak] Itu mesti… itu semestinya kita lakukan. Bukan kehendak pemimpin. Kalau pemimpin nak pun, kalau ahli tak boleh terima, tak boleh dilaksanakan.
Jadi itu yang saya nak kata, apa kita nak fikir pun tak apa, akhirnya kita kena rujuk pada ahli-ahli UMNO.