Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Tan Sri Musa Aman harus meletakkan jawatan sebagai Ketua Menteri Sabah selepas Presiden Parti Warisan Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal memperoleh kerusi majoriti daripada enam Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Pensyarah Ilmu Politik, Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr Zaini Othman berpandangan, peletakan jawatan itu perlu berlaku ekoran ketidakpercayaan barisan ADUN Barisan Nasional kepada kepimpinan beliau hingga memberi sokongan kepada parti diterajui Mohd Shafie.

“Dari aspek moral politik, Tan Sri Musa harus meletakkan jawatan kerana buat masa ini, Sabah mempunyai dua ketua menteri, perlu diambil kira sokongan enam ADUN terhadap Mohd Shafie.

“Dalam konteks Dewan Undangan Negeri (DUN), Musa tidak lagi mendapat kepercayaan untuk mengetuai kerajaan negeri selaku Ketua Menteri Sabah, beliau juga tidak mendapat majoriti,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI di sini, malam tadi.

BACA: Shafie Apdal angkat sumpah Ketua Menteri Sabah

BACA:
Musa Aman sudah keluar dari Sri Gaya?


Kemelut politik di Negeri Di Bawah Bayu itu timbul selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada Rabu dan BN memperoleh 29 kerusi diikuti oleh Warisan dengan 21 kerusi, DAP (6), PKR (2) dan Parti Solidariti Tanahairku (Star).

Musa mengangkat sebagai Ketua Menteri Sabah pada Khamis lalu, namun tindakan enam ADUN BN dan Upko meninggalkan BN menjadikan Warisan memperolehi majoriti.

Semalam, enam ADUN BN yang menyatakan sokongan kepada Mohd Shafie ialah Datuk Hamisa Samat (ADUN Tanjong Batu); Datuk Abdul Muis Picho (ADUN Sebatik); Datuk Osman Jamal (Balung); Jamawi Jaafar (Kemabong) dan dua ADUN daripada UPKO iaitu Ewon Benedict (Kadamaian) serta Datuk Abidin Madingkir (Paginatan).

BACA: Musa Aman nafi letak jawatan Ketua Menteri Sabah

BACA:
Hanya Musa Aman Ketua Menteri Sabah yang sah - Joseph Pairin Kitingan

Menurut Zaini, ada kemungkinan enam ADUN yang ‘melompat’ itu tidak arif tentang undang-undang tubuh kerajaan negeri.

Klausa dalam undang-undang tubuh kerajaan negeri menunjukkan Musa boleh melantik enam ADUN untuk melengkapkan kuota dan memperkukuh kerajaan negerinya.

“Kuota itu tidak digunakan sebelum ini kerana BN sentiasa menang majoriti,” katanya.

Ditanya sama ada Musa boleh menggunakan klausa itu untuk terus menjadi Ketua Menteri Sabah, Zaini menjelaskan ia tidak akan diguna pakai memandangkan enam ADUN telah menyatakan sokongan kepada Mohd Shafie.

ADUN Sebatik, Datuk Abdul Muis Picho ketika dihubungi berkata beliau dan lima ADUN daripada BN telah menandatangani surat pengisytiharan sokongan kepada Mohd Shafie di hadapan Yang Dipertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin.