Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) berada di landasan yang tepat dalam mendapatkan sokongan rakyat bagi memenangi Pilihan Raya Umum akan datang.

Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata sebagai parti baharu, banyak perkara perlu dibuat yang menyebabkan pihak Pas tidak jelas dengan situasi yang dilalui PPBM.

"Bagi saya, Presiden PAS mungkin tidak mengetahui situasi dan keadaan sebenar yang ada dalam
PPBM sejak ditubuhkan, di mana kita ada perlembagaan dan kita sudah jelaskan matlamat perjuangan serta hala tuju kita sampai ke peringkat akar umbi.

"Kita telah adakan gerakan seluruh negara berhubung sambutan penubuhan Bersatu, pastinya kerana kita bersama-sama mendokong matlamat perjuangan untuk menang PRU 14 akan datang," katanya dalam sidang media selepas Mesyuarat Majlis Kepimpinan Tertinggi Pakatan Harapan di sini hari ini.

Tegasnya, pemikiran Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang itulah sebenarnya yang bercelaru dan bukan partinya.

"Kita tak ada celaru, mungkin fikiran dia (Hadi) yang celaru tak tahulah," tegasnya.

Pada Sabtu, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang ketika menyampaikan ucapan dasar presiden di Muktamar Tahunan PAS Ke-63 menegaskan sekali lagi bahawa parti itu tidak akan mengadakan sebarang hubungan dengan PPBM.

Beliau berkata demikian susulan PPBM yang dilihatnya tidak mempunyai arah ketentuan dalam aspek kepimpinan.