Muktamar Pas Ke-63 berlangsung pagi ini di Kompleks Pas Kedah di Kota Sarang Semut di sini dengan menyaksikan kehadiran ahli dan pemimpin parti itu termasuk tetamu jemputan.

Turut mendapat perhatian pada muktamar yang bermula jam 9 pagi itu adalah kehadiran Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dr Shaharuddin Badaruddin yang merupakan antara pemimpin jemputan yang hadir.

Beliau dilihat mengambil tempat di sebelah Ketua Penerangan Pas Nasruddin Hassan di pentas utama bersama pimpinan tertinggi Pas yang lain.

Kehadiran beliau mengundang persoalan memandangkan persidangan pergerakan-pergerakan Pas termasuk Dewan Pemuda Pas dan Dewan Ulama Pas sebelum ini telah meluluskan usul untuk memutuskan kerjasama politik atau 'tahaluf siyasi' dengan PKR untuk dibahaskan di peringkat Muktamar Pas Pusat.

Muktamar Pas Pusat bermula hari ini sehingga Isnin nanti.