Bekas Perdana Menteri itu tiba menaiki kereta Toyota Vellfire berwarna hitam.
Turut kelihatan Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang menemani Ahli Parlimen Pagoh tersebut.
Hadir sama ke pejabat Muhyiddin ialah Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Naib Presiden Bersatu, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin.
Presiden Bersatu itu akan dirakam keterangan oleh pegawai polis daripada Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) D5 Bukit Aman.
Rakaman percakapan itu bagi membantu siasatan berhubung dakwaan isu 3R (agama, bangsa dan institusi raja) membabitkan ucapan Muhyiddin semasa kempen Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, baru-baru ini.
Polis sepatutnya merakam keterangan Muhyiddin pada Selasa, namun sesi rakaman percakapan itu ditangguhkan susulan ketiadaan peguam Ahli Parlimen Pagoh itu.
Sinar Harian pada Isnin melaporkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mengesahkan Muhyiddin akan dirakam keterangan pada Selasa jam 11 pagi di Bangunan MIDA, KL Sentral.
Menurut beliau, polis menerima 30 laporan polis ke atas Muhyiddin membabitkan siasatan di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998.
Ucapan Muhyiddin di kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri didakwa mempersoalkan bekas Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, setelah satu video tular di media sosial. - Sinar Harian