JOHOR BAHRU: Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) mengumumkan tidak bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota yang dijadualkan berlangsung pada 28 September ini.

Pengerusi MUDA Johor, Azrol Rahani berkata tindakan itu dibuat selepas pihaknya mengadakan perbincangan di peringkat Jawatankuasa Negeri MUDA Johor dan dibawa ke mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Pusat.

Katanya MUDA Johor memilih untuk memfokuskan siri jelajah seluruh negeri ini sebagai usaha memperkukuhkan akar umbi.

"MUDA mengambil maklum tentang kekosongan kerusi DUN Mahkota, Parlimen Kluang, susulan kematian penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain.

"Setelah mesyuarat dibuatbkami telah membuat keputusan untuk tidak bertanding dalam PRK DUN Mahkota.

"Selain memfokus siri jelajah negeri, MUDA juga giat melaksanakan agenda rejuvenasi parti. Tumpuan kami adalah untuk mengembangkan kehadiran parti di setiap kawasan Parlimen dan daerah dalam negeri Johor.

"MUDA Johor juga akan terus menjadi semak dan imbang dalam memperjuangkan isu-isu setempat yang memberi impak kepada rakyat, dengan menekankan kepentingan memperkasakan suara rakyat di peringkat bawahan melalui wakil rakyat Parlimen Muar dan ADUN Puteri Wangsa.

"Akhir kata, MUDA Johor mengucapkan selamat maju jaya kepada semua parti yang bertanding dalam PRK DUN Mahkota ini, dengan penuh semangat demokrasi,"katanya dalam satu kenyatan di sini hari ini.

Pada Sabtu lalu, Barisan Nasional mengumumkan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kluang, Syed Hussein Syed Abdullah sebagai calon pada PRK DUN Mahkota.

Manakala Perikatan Nasional mempertaruhkan Bekas pemain bola sepak Johor, Mohamad Haizan Jaafar pada PRK DUN Mahkota.