KLUANG: Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) mengharapkan lebih banyak lagi kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, akan diberikan dalam tempoh terdekat.

Presidennya Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata lanjutan had masa ceramah, syarahan dan kempen hingga pukul 12 tengah malam, adalah perkembangan baik.

"Itu adalah perkembangan baik. Saya berharap akan ada kelongaran lagi dalam tempoh terdekat," katanya kepada pemberita selepas menghadiri ceramah MUDA di Bilik Gerakan Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap, Simpang Renggam di sini, malam tadi.

Turut hadir pada ceramah itu adalah Presiden Amanah Mohamad Sabu dan calon MUDA DUN Machap R. Sangaran.

Syed Saddiq juga meminta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Kementerian Kesihatan (KKM) mempertimbangkan beberapa kelonggaran SOP.

Terdahulu, SPR memaklumkan ceramah, syarahan dan kempen PRN Johor, kini boleh diadakan hingga pukul 12 tengah malam serta pindaan SOP itu berkuat kuasa serta-merta.

Ditanya mengenai peluang MUDA di DUN Machap, Syed Saddiq menyifatkan parti dan calon baharu itu sebagai 'underdog', namun yakin dapat meraih undi dengan kerja keras di kawasan 'kerusi panas' berkenaan.

"Kita tiada kewangan, jentera yang mewah tetapi mempunyai budaya khidmat yang baik, rekod khidmat yang baik. Itu adalah perkara yang mustahak sekali," katanya.

Sangaran akan berdepan dengan calon Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) yang juga Ahli Parlimen Sri Gading Datuk Dr Sharuddin Md Salleh, bekas Exco Pelancongan, Belia dan Sukan kerajaan negeri Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi yang mewakili Barisan Nasional (BN) dan Ketua Dewan Ulama Pas Negeri Johor Azlisham Azahar mewakili Perikatan Nasional (PN).

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), DUN itu menyaksikan penyandangnya Abd Taib Abu Bakar dari UMNO hanya menang dengan majoriti 404 undi, dalam pertangingan tiga penjuru dengan Ahmad Ahem (PH-Bersatu) dan Azlisham (Pas).

-- BERNAMA