Jutaan pengundi yang turun menjalankan tanggungjawab masih menunggu dalam kesamaran - bagaimana bentuk ‘Kerajaan Perpaduan’ itu, dan siapa Perdana Menteri ke-10?
Yang pasti, tempoh masa untuk ketua parti atau gabungan menyerahkan surat akuan bersumpah (SD) membuktikan sokongan hanya berbaki lebih kurang enam jam lagi.
Selepas jam 2 petang ini, apakah rakyat yang kini sedang menikmati secangkir kopi di ceruk desa akan dapat menarik nafas lega?
Selain Istana Negara, tumpuan pagi ini masih terarah kepada ibu pejabat UMNO di Menara Dato’ Onn, World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL).
Memetik media, ahli-ahli Barisan Nasional (BN) didakwa akan menandatangani SD bagi menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-10.
Ia kemudian akan diteruskan dengan Mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN), dekat sini.
Begitu pun, tinjauan Astro AWANI sejak pukul 7 pagi tadi mendapati keadaan di Menara Dato Onn masih tenang, selain kelibat-kelibat pemimpin BN juga belum kelihatan tiba.
Mesyuarat MT BN yang berlangsung semalam juga belum mencapai kata sepakat berhubung pendirian untuk menjalin kerjasama dengan gabungan parti bagi membentuk Kerajaan Persekutuan.
Memetik laporan media, Presiden MIC, SA Vigneswaran berkata, BN akan mempertimbangkan kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) atau Pakatan Harapan (PH), dan keputusan berkenaan mungkin dibuat hari ini.
Semalam, Yang di-Pertuan Agong berkenan melanjutkan masa sehingga 2 petang ini untuk ketua parti dan gabungan menyerahkan cadangan calon Perdana Menteri mereka.
Setakat semalam, PN memaklumkan sudah menghantar SD kepada Istana Negara untuk membentuk Kerajaan Persekutuan selepas mendakwa memperoleh sokongan lebih 112 ahli Parlimen.
Astro AWANI akan membawakan perkembangan di semua platform digital dari semasa ke semasa.