Mesyuarat agung tahunan MCA Negeri Sembilan hari ini menggesa agar anggota parti bersatu padu bagi menentang pembangkang dan bekerjasama dengan ibu pejabat parti untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Ini adalah antara 10 resolusi yang diluluskan perhimpunan itu yang melibatkan soal parti, politik, ekonomi, pendidikan, sosial dan hal ehwal kerajaan.

Resolusi yang dibentangkan Speaker Datuk Seri Lee Pit Chern diluluskan sebulat suara 660 anggota perwakilan.

Resolusi turut menggesa anggota komponen Barisan Nasional (BN) agar terus menjunjung semangat kerjasama dan setiakawan BN.

Perwakilan mahu sokongan terus diberikan kepada Presiden Datuk Seri Liow Tiong Lai dan kepimpinan jawatankuasa pusat parti serta terus menyokong kerajaan dalam mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang membuat kenyataan menghasut yang boleh merosakkan hubungan antara kaum dan agama.

Dari segi ekonomi, anggota menyeru kerajaan untuk mengkaji semula dan mengurangkan perbelanjaan yang meningkat dan menambah peruntukan untuk perbelanjaan pembangunan bagi membantu pertumbuhan ekonomi.

Resolusi turut meminta kerajaan agar terus memelihara perlembagaan persekutuan.-- BERNAMA