Menteri Besar Johor Datuk Hasni Mohammad menyeru agar semua pihak di negeri itu untuk bersama beliau memakmur dan memanfaatkan negeri Johor yang banyak potensi tersirat.

Katanya sudah menjadi tanggungjawab hakiki beliau sebagai rakyat Johor dan Menteri Besar untuk bersama barisan Exco untuk terus bekerja demi Johor.

“Cukuplah sudah berpolitik. Cukuplah sudah kita berkelahi. Sudah pastinya, kita mahu yang terbaik Untuk Johor. Saya percaya, barisan Exco Makmur Johor ini adalah yang bekerja untuk semua. Kerajaan pimpinan saya adalah kerajaan untuk semua.

“Bersetialah Untuk Johor. Berbaktilah Untuk Johor. Bekerjalah Untuk Johor. Kerana akhirnya, kita semua mahukan Johor yang lebih makmur,” katanya pada sidang media di Kediaman Rasmi Menteri Besar Johor, di sini, hari ini.

Barisan Exco Kerajaan Negeri Johor yang baharu dilantik menggunakan komposisi 4-4-1-1 dengan empat kerusi daripada Umno, empat daripada Bersatu dan masing-masing satu daripada Bebas dan MIC.

BACA: 10 ADUN Johor angkat sumpah sebagai Exco


Barisan Exco kali ini juga membariskan enam muka baharu yang pertama kali diangkat mentadbir negeri termasuk Datuk Samsolbari Jamali (BN-Semarang); Ayub Jamil (BN- Rengit), Zaiton Ismail (BN- Sungai Balang), Datuk Onn Hafiz Ghazi (BN- Layang-Layang), selain Mohd Izhar Ahmad (Bersatu-Larkin) dan Dr Chong Fat Full (Bebas- Pemanis).

Namun kejutan berlaku apabila satu-satunya ADUN PAS di Johor, Kapten (B) Najib Lep (Bukit Pasir) yang hampir pasti dilantik sebagai Exco tidak dilantik sebaliknya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mendapat tambahan kerusi Exco daripada jangkaan tiga kepada empat.

Bagaimanapun Hasni tidak menolak kemungkinan meletakkan wakil Pas itu bagi mengisi jawatan Timbalan Speaker DUN Johor yang sebelum ini disandang oleh Gan Peck Cheng manakala Speaker DUN adalah Suhaizan Kayat.

Manakala ADUN Pemanis, Dr Chong Fat Full menepati ramalan dilantik sebagai Exco memandangkan beliau satu-satunya ADUN berketurunan Tionghua.


Berikut adalah senarai tugas portfolio Exco Johor:

1. Datuk Hasni Mohammad (Umno)- Menteri Besar Johor, merangkap Pengerusi Jawatankuasa Hasil Bumi, Pentadbiran, Kewangan, Perancangan dan Pembangunan Ekonomi Johor.

2. Datuk Samsolbari Jamali (Umno)- Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Johor.

3. Mazlan Bujang (Bersatu) - Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya Johor.

4. R Vidyananthan (MIC) - Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor

5. Tosrin Jarvanthi (Bersatu)- Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor.

6. Ayub Jamil (Umno) - Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor.

7. Mohd Solihan Badri (Bersatu) - Pengerusi Jawatankuasa Kerja raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Johor

8. Zaiton Ismail (Umno) - Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Johor.

9. Datuk Onn Hafiz Ghazi (Umno) - Pengerusi Pelancongan, Belia dan Sukan Johor.

10. Mohd Izhar Ahmad (Bersatu) - Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Pembangunan Ushawan, Koperasi dan Sumber Manusia Johor.

11. Dr Chong Fat Full (Bebas) - Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna