Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan melancarkan Manifesto peringkat negeri 2018-2022, dengan menawarkan 18 inisiatif bawah dua teras utama iaitu Memakmurkan Negeri dan Mensejahterakan Rakyat, bersama Skim Mensejahterakan Rakyat.

Sembilan fokus di bawah teras Memakmurkan Negeri adalah pendidikan, ekonomi, pelaburan, infrastruktur, pelancongan, pertanian, perpaduan, agama Islam, dan perkhidmatan awam.

Sementara sembilan lagi inisiatif bawah teras Mensejahterakan Rakyat merangkumi aspek perumahan, kesihatan, sukan, Orang Asli, belia, wanita, kemiskinan, keselamatan dan alam sekitar.

Menurut Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan, BN Negeri Sembilan ternyata menjalankan tugas dengan cemerlang apabila 44 daripada 45 janji yang dibuat pada kempen Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 lima tahun lalu berjaya dilaksanakan.

"Kita akan terus dengan matlamat kita untuk memakmurkan negeri ini, mensejahterakan rakyatnya dengan bukti bukan sekadar janji," katanya semasa berucap pada majlis pelancaran Manifesto BN Negeri Sembilan 2018-2022 di sini, hari ini.

Antara tawaran baharu dalam manifesto tersebut adalah rancangan menyelesaikan masalah kesesakan trafik di sekitar Bukit Putus dengan membina beberapa jajaran lebuh raya di sekitarnya seperti Lebuhraya Seremban-Serting, dan pelaburan berteknologi tinggi untuk membuka peluang pekerjaan berkemahiran tinggi.

Sementara itu beberapa perkara menarik diumumkan bawah Skim Mensejahterakan Rakyat, antaranya tambahan caruman Skim Amanah Dana Anak Malaysia 2050 (ADAM2050) untuk bayi baru lahir, duit poket RM1,000 untuk anak-anak Negeri Sembilan yang melanjutkan pengajian peringkat Sarjana Muda dan RM500 bagi peringkat Diploma di institusi pengajian tinggi (IPT) bersama 'Pocket Wifi', dan saguhati untuk pasangan baru berkahwin sebanyak RM550.

Selain itu, cukai tanah dan cukai pintu individu tidak akan dinaikkan dalam tempoh lima tahun, pemeriksaan pap smear dan mammogram percuma di pusat perubatan kerajaan, rebat bil air bagi rumah ibadat berdaftar, dan bantuan khairat kematian RM1,000.

Pada masa sama, Mohamad turut melancarkan portal www.bnns2rakyat.com di mana segala maklumat mengenai aku janji, butiran manifesto, serta pencapaian pentadbiran kerajaan negeri pimpinan BN sebelum ini.