Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar membuat kejutan apabila hari ini beliau mengumumkan akan bertanding untuk kerusi Presiden UMNO bagi penggal 2018/19.

Ahli Parlimen Rembau itu menjelaskan bahawa parti keramat Melayu itu perlu jasad baharu yang menstrukturkan parti secara total atau keseluruhan.

“Terbuka untuk menerima ahli-ahli baharu tanpa sekatan. Terbuka untuk para perwakilan menentukan siapa yang akan menerajui UMNO dan bebas daripada cengkaman ‘warlords’," kata Khairy dalam satu kenyataan yang di muat naik di laman Facebooknya, selepas mengumumkan pencalonan beliau di laman Instagramnya hari ini.

“UMNO mesti mengembalikan semangat keterbukaan dalam segala aspek. Terbuka untuk bertanding. Terbuka untuk menegur dan mengkritik pemimpin tanpa dipecat.

“Biarlah semangat perjuangan kita beteraskan fastabiqul khairat - berlumba-lumba untuk membuat kebaikan kepada rakyat, dan bukannya berlumba-lumba untuk jawatan, pangkat dan kekayaan,” tambahnya.

Menurut ahli politik berusia 42 tahun itu, keputusan untuk bertanding bagi kerusi Presiden bukan mudah untuk dibuat.

Beliau juga telah meminta pihak pengurusan untuk menarik semula borang permohonan bagi jawatan Naib Presiden UMNO yang telah diserahkan pada 1 Jun lalu.

“Keputusan saya ini tidak mudah untuk dibuat. Malah sehingga beberapa hari yang lepas, saya tetap dengan pendirian saya untuk hanya bertanding jawatan Naib Presiden UMNO sahaja.

KJ

“Namun, setelah memikirkan masa depan dan survival UMNO dalam keadaan hari ini, saya mengambil keputusan bertanding jawatan Presiden UMNO kerana saya mahu ahli-ahli parti mempunyai pilihan tentang ke arah mana UMNO perlu dikemudi,” jelasnya.


Terdahulu, Khairy yang lebih mesra dengan nama KJ itu telah memuat naik imej borang pencalonan beliau bertarikh 17 Jun, 2018 (Ahad) mengumumkan beliau bakal menghangatkan pemilihan Majlis Tertinggi UMNO tersebut pada 30 Jun.

Dalam pautan yang dimuat naik sekitar jam 2.53 petang tadi, Khairy menulis kapysen, 'alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan... Bismillahirrahmanirrahim'.

BACA: Sah! Khairy bakal bertanding calon Presiden UMNO

Ahli Parlimen Rembau berusia 42 tahun yang telah menjadi ahli UMNO sejak 17 Januari, 2000 itu bakal menentang veteran politik, Tengku Razaleigh Hamzah dan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.