IPOH: Dua mangsa yang maut selepas kereta yang mereka naiki terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Velfire di Kilometer 12.5 Jalan Kuala Kangsar-Manong, dekat sini, pagi semalam dikenal pasti sebagai ibu dan anak.

Mangsa yang maut dikenali Sakinah Kamarudin, 37 tahun, dan anak bongsunya, Aisyah Qaisara Khairul Rahmat, 9 tahun, manakala seorang lagi anaknya, Nur Safa’ Rafissah, 10 tahun, cedera parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar ACP Heisham Harun berkata, siasatan awal di lokasi mendapati kereta jenis Honda City yang dipandu wanita itu dari arah Kuala Kangsar menuju arah Manong.

“Ketika di lokasi kejadian, kereta yang dipandu dipercayai hilang kawalan semasa melalui selekoh dan berpusing masuk ke laluan bertentangan.

“Pada masa yang sama, datang sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Velfire dari arah bertentangan tidak sempat mengelak lalu merempuh sisi kiri kereta tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Menurutnya, akibat kemalangan itu, pemandu dan penumpang kereta hadapan telah tersepit sebelum berjaya dikeluarkan oleh pihak bomba tetapi disahkan meninggal dunia di lokasi.

Katanya, seorang lagi anak mangsa yang duduk di belakang mengalami kecederaan parah di kepala dan dirawat di hospital manakala pemandu MPV tidak mengalami kecederaan.

Polis menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes itu, boleh menyalurkannya kepada pegawai penyiasat, Inspektor Soffian Rosman di 014-5671803 atau 05-7762222 untuk membantu siasatan.

Terdahulu, media melaporkan dua maut manakala seorang lagi cedera selepas kereta yang mereka naiki terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kenderaan jenis Toyota Vellfire di Jalan Kuala Kangsar-Manong, dekat Kuala Kangsar, pagi semalam.

 

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kemalangan itu jam 7.36 pagi.