KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah mengemukakan 16 cadangan reformasi dalam usaha membawa keluar Malaysia daripada krisis yang berlaku ketika ini.

Antara cadangan yang dikemukakan beliau adalah meminda Perlembagaan Persekutuan bagi menubuhkan Mahkamah Perlembagaan bagi menangani pertikaian politik dan Perlembagaan.

Menurut veteran UMNO itu, bidang kuasa mahkamah itu meliputi  apa-apa isu yang melibatkan perlembagaan dan hak demokrasi termasuk pencabulan hak asasi manusia dan sivil.

"Ahli Dewan Rakyat yang dipilih akan dilucut kelayakan jika didapati terlibat dalam rasuah politik oleh Mahkamah Perlembagaan.

"Tidak ada anggota Dewan Rakyat yang boleh menerima jawatan di dalam mana-mana syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

"Penglibatan sebagai anggota pengarah GLC akan menyebabkan pengguguran sebagai calon pilihan raya atau sebagai ahli Dewan Rakyat," katanya.

Beliau mengemukakan cadangan itu pada sesi dialog anjuran British Graduates Association Malaysia di sini, hari ini.

Antara cadangan lain yang dikemukakan beliau termasuk melarang ahli Dewan Rakyat mengundi semasa persidangan jika wujud konflik kepentingan.

Malah, beliau turut mencadangkan supaya Perlembagaan Persekutuan dipinda bagi memastikan Dewan Rakyat termasuk status Yang di-Pertua adalah bebas daripada kawalan sebarang kementerian.

"Menjadi tanggungjawab Yang di-Pertua untuk memastikan Dewan Rakyat kekal memelihara dan mendukung demokrasi Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang," katanya.