KUALA LUMPUR:Laporan kononnya Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendapat sokongan Ahli Parlimen UMNO dilihat sebagai satu propaganda politik yang tidak disertakan sebarang bukti.

Pensyarah Jabatan Pengajian Pentadbiran dan Politik, Universiti Malaya (UM), Dr Mohammad Tawfik Yaakub berkata, sudah tiba masanya buat Anwar untuk menilai kembali karier politik beliau termasuk mengetengahkan pemimpin pelapis muda.

"Rakyat boleh menilai sebenarnya bagaimana mereka tidak berjaya untuk mendapatkan jumlah yang menyakinkan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk membentuk kerajaan, sudah-sudahlah dalam perkembangan politik negara, kita harus move on kalau hendak lihat sokongan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Kita boleh lihat semasa pelantikan Speaker sendiri, beliau berjaya menukar Speaker dan akhirnya dalam Belanjawan kali ini, apa lagi yang hendak dihangatkan dalam konteks politik negara, cukuplah bagi pandangan saya dan bagi saya, cukup-cukuplah propaganda politik yang digembar-gemburkan sebelum ini.

"Kita perlu fokus kepada bagaimana hendak membangunkan negara, menjaga kebajikan rakyat, memastikan kestabilan negara itu lebih penting berbanding propaganda politik yang sebenarnya tidak memberi kemajuan kepada rakyat dan negara," katanya semasa sidang Skype bersama Astro AWANI pada Isnin.



Terdahulu, penganalisis politik, Dr Achmad Dzariean Mohd Nadzri menegaskan, Muhyiddin wajar meletak jawatan atau memohon untuk pembubaran Parlimen jika benar 10 Ahli Parlimen UMNO telah beralih arah dengan menyokong atau menandatangani akuan bersumpah (SD) menyokong Anwar.

Jelasnya, Perdana Menteri secara automatiknya sudah hilang kepercayaan di kalangan ahli Dewan Rakyat dan perlu meletak jawatan jika mana-mana pihak berjaya membuktikan bahawa mereka mempunyai majoriti sokongan.