PUTRAJAYA: Dianggarkan sebanyak RM1.01 bilion diperlukan bagi mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN N.66 Bugaya, Sabah.

Kos tersebut meningkat berbanding PRU14 yang dianggarkan sebanyak RM400 juta.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Ghani Salleh berkata, seramai 363,515 orang petugas akan dilantik bagi mengendalikan proses PRU15 dan PRK DUN Bugaya.

“Manakala, sebanyak 8,958 buah pusat mengundi biasa yang mengandungi 38,348 tempat mengundi/saluran dan 578 pusat mengundi awal bagi pengundian yang mengandungi 970 tempat mengundi/saluran awal akan digunakan.

“Keseluruhan jumlah pusat mengundi adalah sebanyak 9,536 buah dengan 39,318 tempat mengundi/saluran.

“PRU15 dan PRK DUN N.66, Sabah ini dianggarkan memerlukan peruntukan sebanyak RM1.01 bilion,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan.
BACA SEMUA BERHUBUNG PRU15 DI SINI




Terdahulu, dalam sidang media di Menara SPR, di sini, hari ini, beliau mengumumkan SPR menetapkan 19 November 2022 sebagai hari pengundian bagi PRU15.

[TERKINI] Sidang Media Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Malaysia | #MalaysiaMemilih

Sementara tarikh penamaan calon dan pengundian awal pula masing-masing ditetapkan pada 5 dan 15 November 2022.

Abdul Ghani turut memaklumkan, Daftar Pemilih Tambahan Ogos 2022 yang dikemas kini sehingga 9 Oktober 2022 mengandungi seramai 21,173,638 orang pemilih.

Rakyat Malaysia mengundi 19 November 2022

Daripada jumlah tersebut, sebanyak 20,905,366 orang merupakan pengundi biasa, 146,737 orang tentera serta pasangan, 118,794 orang polis, Polis Pasukan Gerakan Am (PGA) serta pasangan dan 2,741 orang Pengundi Tidak Hadir Luar Negara.

Sementara Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) PRU15 pula dijadualkan akan mula dijual pada 31 Oktober 2022 (Isnin).

Dalam kenyataan sama, beliau berkata, tempoh berkempen ditetapkan 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon-calon yang bertanding pada 5 November sehingga pukul 11.59 malam, 18 November.

PRU15 melibatkan 222 kerusi Dewan Rakyat serta 42 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang, 15 kerusi DUN Perlis dan 59 kerusi DUN Perak.

Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pembubaran Dewan Rakyat berkuat kuasa 10 Oktober lalu.