PENDIDIKAN dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) merupakan salah satu tunjang utama yang memainkan peranan signifikan dalam mentransformasikan Malaysia kepada negara maju dan berpendapatan tinggi. 

Hal ini kerana, pembangunan dan kemajuan negara masa kini tidak lagi bergantung semata-mata kepada modal insan berpengetahuan tinggi, tetapi juga kepada yang berkemahiran tinggi.

Secara kolektif, selain menjadi platform pembangunan ilmu pengetahuan dengan melahirkan graduan yang mempunyai potensi kemahiran kerja tinggi, TVET juga penting bagi meningkatkan bekalan modal insan tempatan berkemahiran melalui penyediaan pendidikan dan latihan berkualiti kepada pelajar yang mempunyai kecenderungan dalam bidang teknikal dan vokasional yang mampu memenuhi tuntutan industri

Isu melibatkan pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) merupakan antara “modal perniagaan” yang paling laku dalam pemimpin-pemimpin kerajaan untuk menonjolkan siapa paling juara dalam memperjuangkan isu pendidikan.

Kita sering diuar-uarkan mengenai inisatif atau ucapan para pemimpin berkaitan isu TVET.

Bahkan kerajaan memperuntukkan sejumlah dana yang besar saban tahun dalam usaha mengarusperdanakan institusi TVET ini.

Sebagai contohnya RM29 juta melalui Belanjawan 2021 bagi melaksanakan program-program TVET di bawah Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

Selain itu juga, kerajaan menyediakan RM6.6 bilion untuk melaksanakan pelbagai inisiatif di bawah kementerian dan agensi-agensi berkaitan dalam belanjawan 2022.

Terbaru, kerajaan menyediakan sebanyak RM6.7 bilion di bawah tujuh kementerian utama bagi melaksanakan pelbagai inisiatif berkaitan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional.

Namun begitu, agak menyedihkan apabila lebih empat abad, Malaysia menyedari kepentingan TVET untuk negara, namun sehingga kini ianya masih lagi menjadi stigma dalam kalangan masyarakat dan sering disalah anggap sebagai bidang yang menjadi pilihan terakhir dalam meneruskan pengajian.

Penekanan pencapaian akademik berbanding pengembangan potensi dan nilai individu yang masih menjadi
akar asas pendidikan negara kita dikatakan menjadi faktor utama kenapa ianya berlaku.

Jika diamati, pendidikan berorientasikan akademik lebih berfokuskan kepada ilmu saintifik manakala TVET kepada latihan untuk pekerjaan tertentu.

Namun senario ini berbeza di kebanyakan negara maju yang menganggap TVET sebagai salah satu
agenda utama pendidikan.

Sebagai graduan teknikal, saya mahu melihat kerajaan pasca-PRU15 yang bakal dibentuk nanti bukan sekadar pandai menyumbang dana tanpa faham secara membumi tentang isu akar berkaitan TVET ini sebaliknya lebih berstrategi dalam usaha memperkasakan TVET ini.

Ada tiga fokus utama yang harus diambil cakna oleh bakal pemimpin yang akan memenangi piliharaya nanti dalam usaha memartabatkan TVET.

Yang pertama adalah, mempositifkan persepsi ibu bapa terhadap TVET. Pemimpin perlu bijak dalam mengubah perspektif ibu bapa dan masyarakat berkaitan tVET ini, sebagai contohnya pepatah ada mengatakan pimpinan adalah melalui teladan. Promosi yang paling berkesan adalah dengan menjadi diri sendiri sebagai contoh.

Para pemimpin sendiri berani menghantar anak atau ahli keluarga mereka yang berminat untuk memasuki bidang TVET berbanding menghabiskan wang menghantar anak belajar di luar negara semata-mata. Selain itu, para pemimpin dan kerajaan harus berani menjenamakan TVET sebagai aliran yang seiring dengan aliran akademik yang lain.

Institusi TVET pula perlu menyediakan peluang kepada para pelajar mengembangkan potensi dengan kepelbagaian aktiviti yang boleh menyerlahkan bakat dan seterusnya boleh menguasai bidang yang diikuti.

Perkara seumpama ini secara tidak langsung akan memberikan gambaran yang positif kepada ibu bapa yang berminat untuk menghantar anak-anak mereka ke aliran TVET.

Fokus yang kedua adalah penyediaan tenaga pengajar TVET yang berimpak kepada pelajar. Pepatah ada menyebut, “Bagai ketam mengajar anaknya berjalan” yang turut menempiaskan institusi TVET negara kita apabila kebanyakan pengajar intitusi TVET ini bukanlah dari kalangan pengajar yang berlatarbelakangkan TVEt yang menyebabkan ilmu atau kemahiran sebagaimana yang dikehendaki industri tidak dapat dipenuhi.

Selain mempunyai pengetahuan tentang corak reformasi industri semasa, para pendidik juga perlu sentiasa peka dan mengadaptasi pada perubahan lebih-lebih lagi apabila kita giat menghadapi Revolusi Industri 4.0.

Di samping itu, para pengajar perlu mempersiapkan diri dengan perubahanperubahan dan pembaharuan yang bakal berlaku dalam silibus.

Ini adalah kerana mereka bukan sahaja menyampaikan ilmu dan kemahiran kepada pelajar, mereka
juga bertanggungjawab mengembangkan minat dan memperkembangkan bakat dan kebolehan pelajar.

Fokus yang ketiga adalah memperhalusi silibus dan kokurikulum TVET di institusi TVET. Kurikulum TVET perlu memberikan tumpuan kepada pemikiran kritis dan kreatif sejajar dengan kebolehan pelajar. Kaedah pembelajaran berasaskan projek melalui TVET boleh meningkatkan kualiti dan daya tarikan kepada industri yang kebanyakan programnya direkabentuk berasaskan kepada sistem sebenar yang wujud di industrI.

Kurikulum yang berpaksikan ujian peperiksaan sepatutnya digantikan dengan kurikulum berorientasikan industri. Peranan juga perlu dimainkan oleh industri agar sama-sama terlibat dalam penghasilan tenaga kerja negara.

Pemantapan atau pemerkasaan TVET dalam kalangan graduan teknikal ini adalah satu perjalanan yang berterusan, bukan seperti menuju sebuah destinasi yang berpenghujung. Pasca-PRU15 nanti, kita sebagai rakyat Malaysia harus terus menuntut agar perjuangan TVET ini tidaklah "hangat-hangat tahi ayam" semata-mata.

Lagi parah jika isu TVET ini hanya menjadi “janji manis” untuk merebut kerusi empuk para yang berhormat semata-mata.

Ayuh sama-sama kita tuntut perjuangan TVET ini agar dapat diteruskan pada masa akan datang. Benarlah, imaginasi tanpa realisasi hanyalah halusinasi.


* Ts. Zulfadhli Datuk Idrus merupakan Presiden Persatuan Alumni, Universiti Teknikal Malaysia Melaka (AUTeM). 

** Artikel ini adalah daripada pandangan peribadi berdasarkan bidang kerjaya penulis, dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.