PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) mengesyorkan dan bersetuju dengan semua prosedur operasi standard (SOP) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang.

Menterinya, Khairy Jamaluddin berkata, pihaknya yakin jika SOP tersebut dipatuhi, ia mampu mencegah peningkatan mendadak kes COVID-19.


"Untuk PRN Johor, saya serahkan kepada SPR untuk umumkan, KKM telah membuat syor dan cadangan kita.


"Kita sudah bersetuju dengan semua yang dibentangkan dan saya percaya dan yakin, SOP ini jika dipatuhi iaa dalah mencukupi untuk mencegah peningkatan kes," katanya dalam sidang media di sini pada Khamis.

Dari segi liputan vaksinasi, Khairy berkata sebanyak 80 peratus mereka yang berusia 12 tahun ke atas telah lengkap menerima vaksin di negeri itu.

Bagaimanapun, KKM ketika ini jelasnya sedang memberi tumpuan untuk meningkatkan peratusan pemberian dos penggalak dalam kalangan dewasa di Johor.

Ia termasuk di dua daerah yang menunjukkan peratusan terendah iaitu Mersing 35 peratus dan Pontian (39 peratus).

Terdahulu, Khairy memaklumkan kes COVID-19 yang dimasukkan ke hospital adalah 1,269 kes setakat 16 Februari.

Daripada jumlah tersebut, 428 kes (33.7 peratus) adalah kategori 3, 4, dan 5; manakala 841 kes (66.3 peratus) lagi adalah terdiri daripada kategori 1 dan 2.